Artikel

Seandainya Kadar Pematuhan SOP Merosot, Malaysia Akan Alami Gelombang Keempat

Sesuatu penularan yang dianggap sebagai gelombang baharu hanya dapat dilakukan sekiranya penularan semasa telah mencapai angka sifar – barulah sesebuah negara boleh didefinasikan mengalami gelombang baharu.

Kenyataan itu telah diperjelaskan oleh Menteri Kesihatan negara, Dr Adham Baba pada laporan Bernama hari ini – berhubung persoalan gelombang keempat di Malaysia. Menurutnya ketika ini, Malaysia masih lagi di aras gelombang ketiga – di mana angka penularan masih lagi terus berlaku dan tidak menurun.

Bagaimanapun Dr Adham Baba tidak menolak bahawa ketibaan gelombang keempat boleh berlaku apabila kadar pematuhan prosedur operasi standard (SOP) mengalami penurunan dalam kalangan orang awam. Tindakan itu bakal mewujudkan penularan yang lebih besar dan pengesanan kluster baharu.

Seperti yang umum ketahui, kes harian Malaysia pada hari ini (17 April) mencatatkan paras 2,331 kes positif. Memperlihatkan negeri Selangor tambahan 751 kes baharu, diikuti Sarawak 512 kes, Kuala Lumpur 252 kes dan Kelantan 225 kes.

Untuk makluman, seandainya penularan pandemik COVID-19 negara benar-benar memasuki gelombang keempat, maka Malaysia perlu melaksanakan suntikan dana pinjaman bagi membantu pertumbuhan sosio-ekonomi.

Perkara ini telah dinyatakan oleh Datuk Seri Mustapa Mohamed, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) berkenaan tindakan yang akan diambil jika penularan kes COVID-19 terus meningkat. Ini kerana defisit negara telah mencatatkan lebih 6% berbanding 3.2% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).