Artikel

OPR Dijangka Kekal Pada Paras 1.75% – AmBank Research

Berpandukan momentum pemulihan ekonomi ketika ini, AmBank Research kini menjangkakan Kadar Dasar Semalaman (OPR) negara akan kekal pada paras 1.75%.

Penyataan ini merangkumi Kadar Tawaran Antara Bank Kuala Lumpur (KLIBOR) yang dijangka kekal pada paras 1.94%. Sekiranya Bank Negara Malaysia (BNM) menurunkan OPR sebanyak 25 mata asas maka ia akan turut merendahkan paras KLIBOR pada 1.69%.

KLIBOR adalah petunjuk bagi pasaran wang antara bank Malaysia – ia adalah kadar pinjaman antara bank iaitu kadar faedah yang dikenakan bank ketika memberi pinjaman antara satu sama lain.

Menerusi jangkaan itu – faktor mendorong kepada pengekalan kadar OPR adalah disebabkan agihan bekalan vaksinasi serta keyakinan dagangan di mana sentimen pinjaman turut memaparkan peningkatan termasuklah potensi pelaburan dan perbelanjaan modal (capex).

Meskipun dinamik pasaran memaparkan ketidakstabilan namun ia masih disokong menerusi aktiviti ekonomi seperti peruncitan dan pasaran bon yang membawa dorongan positif kepada keseluruhan prestasi ekonomi negara.

Sementara itu, paras inflasi tahun ini pula dijangka lebih tinggi berikutan kenaikan harga minyak pada dagangan global.