Artikel

Gaji Permulaan Graduan Malaysia Disasarkan Meningkat Pada Tahun Ini – DS Mustapa

Walaupun tahun lalu menunjukkan penurunan yang ketara pada gaji permulaan para graduan itu tidak bermakna paras tersebut tidak dapat ditingkatkan semula.

Kerajaan kini menyasarkan tahap gaji permulaan dalam kalangan graduan akan meningkat semula pada pertengahan tahun ini berikutan pemulihan segmen ekonomi Malaysia.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed, sasaran ini seiring dengan pelan kerajaan untuk meningkatkan kapasiti pekerjaan negara. Tawaran pekerjaan yang lebih berkualiti, jelas akan memberi peningkatan pada paras gaji permulaan para graduan.

Jabatan Perangkaan (DOSM) sebelum ini pernah menyatakan gaji permulaan Malaysia telah memaparkan penurunan pada tahun lalu – di mana ia dapat dilihat menerusi peningkatan kadar pengangguran negara pada paras 4.9%.

Menurut Ketua Perangkawan Dr Mohd Uzir Mahidin majoriti graduan baharu memperolehi pendapatan bulanan sekitar RM1,001 sehingga RM1,500 untuk tahun 2020.

Ini berbeza dengan tahun 2019 yang memaparkan pendapatan bulanan graduan pada paras RM2,001 hingga RM2,500. Penurunan ketara ini jelas memberi bebanan kepada para graduan.

Oleh itu, DS Mustapa juga menjelaskan kerajaan kekal optimis untuk memastikan jaminan perolehan pendapatan graduan dapat dinaikkan lebih tinggi – sekiranya gagal berbuat demikian ini akan menjadi masalah kewangan pada ekonomi negara.