Artikel

Kesan Pandemik, Purata Pendapatan Bulanan Graduan Baharu Kian Merosot – DOSM

Isu gaji sememangnya antara persoalan kegemaran utama para pekerja, tidak hanya di negara kita bahkan di seluruh dunia – khususnya ketika mendepani krisis pandemik COVID-19 ketika ini.

Menerusi Jabatan Perangkaan (DOSM) gaji permulaan Malaysia telah memaparkan penurunan pada tahun lalu – di mana ia dapat dilihat menerusi peningkatan kadar pengangguran negara pada paras 4.9%.

Menurut Ketua Perangkawan Dr Mohd Uzir Mahidin majoriti graduan baharu memperolehi pendapatan bulanan sekitar RM1,001 sehingga RM1,500 untuk tahun 2020.

Ini berbeza dengan tahun 2019 yang memaparkan pendapatan bulanan graduan pada paras RM2,001 hingga RM2,500. Penurunan ketara ini jelas memberi bebanan kepada para graduan.

Bagaimanapun, pendapatan bulanan bagi graduan PhD serta Sarjana masih lagi kekal perolehannya pada kitaran RM5,001 hingga RM10,000.

Selain itu, meskipun jumlah graduan tahun lalu memaparkan penurunan kepada 318,593 individu dan kadar penyertaan tenaga kerja meningkat – namun peratusan kehilangan pekerjaan telah merencatkan purata untuk gaji permulaan graduan baharu.

Setakat ini, DOSM masih meneliti kesan lain yang timbul terhadap penurunan kadar gaji tersebut. Perkongsian DOSM secara langsung menunjukkan tahun lalu menjadikan lebih ramai graduan ijazah tergolong pada skala perolehan gaji yang lebih rendah.