Artikel

Individu Seharusnya Memiliki Purata Simpanan Sehingga 6 Bulan Gaji, Untuk Tangani Krisis Kewangan – BNM

Krisis kewangan sememangnya sering berlaku apabila pertumbuhan negara mengalami penurunan disebabkan isu global, namun ia juga turut berlaku kepada individu sekiranya gagal memahami pengurusan kewangan mereka.

Bank Negara Malaysia (BNM) pada laporan tahunan 2020 telah menekankan keperluan pengurusan kewangan pada setiap pihak adalah penting, demi menjamin masa hadapan dan menghindarkan kesukaran dari berlaku.

Antara yang digariskan adalah semua pihak seharusnya memiliki simpanan sekitar 3 hingga 6 bulan untuk persediaan perbelanjaan mahupun untuk kecemasan. Tidak hanya itu, individu juga perlu mengetahui peranan asas berhubung pinjaman yang dimohon.

Ia meliputi risiko tanggungan kos – adakah jumlah pinjaman tersebut mampu ditanggung atau memberi pulangan kepada aset pelaburan yang dilakukan? Perkara ini yang perlu dipertimbangkan.

Selain itu – penekanan lain yang turut digarapkan adalah jumlah hutang bulanan seharusnya tidak melepasi kadar 60% daripada pendapatan bersih individu. Sekiranya ia berlaku, individu perlu meneliti semula komitmen berdasarkan keperluan sebenar.

Untuk makluman, pada Ogos 2020 – satu per tiga rakyat negara telah diklasifikasikan memiliki hutang melebihi aset pada tinjauan penyelidikan Keupayaan Kewangan dan Penggunaan Perkhidmatan Penasihat Kewangan di Malaysia oleh Majlis Perancang Kewangan Malaysia (MFPC).

Sekiranya dilihat pada tinjauan laporan 2020 ia memiliki persamaan apabila laporan 2018 – di mana lebih 50% daripada 2,000 responden mengakui mereka memiliki lebihan hutang berbanding aset. Ini bermakna kenyataan yang sama telah berulang.

Ini membawa erti – kesedaran rakyat negara berhubung pengurusan kewangan telah rendah sebelum pandemik COVID-19 menjengah negara lagi. Perubahan pemahaman itu perlu dilaksanakan, untuk memerangi bebanan hutang dan ketiadaan simpanan kelak.