Artikel

Satu Per Tiga Rakyat Malaysia Memiliki Hutang Melebihi Aset

Kini, satu per tiga rakyat Malaysia memiliki hutang melebihi aset.

Berdasarkan tinjauan penyelidikan Keupayaan Kewangan dan Penggunaan Perkhidmatan Penasihat Kewangan di Malaysia oleh Majlis Perancang Kewangan Malaysia (MFPC) untuk tahun 2020 – sekitar 36% responden memiliki hutang lebih tinggi berbanding aset, manakala 32% memaparkan nisbah aset yang sama dengan hutang dan 32% lagi menunjukkan memiliki aset melebihi tanggungan hutang.

Pendedahan bersama Dana Pembangunan Pasaran Modal (CMDF) ini merangkumi kedudukan literasi kewangan rakyat Malaysia seramai 32.7 juta. Sekiranya dilihat pada tinjauan laporan untuk 2018 – lebih 50% daripada 2,000 responden mengakui mereka memiliki lebihan hutang berbanding aset. Ini bermakna kenyataan yang sama telah berulang.

Menurut Timbalan Dekan Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Dr Mohamad Fazli Sabri, yang mengetuai penyelidikan tersebut – kajian ini memaparkan kebimbangan ketara bahawa rakyat Malaysia tidak peka akan simpanan dan sebahagian responden mengatakan pendapatan mereka tidak mencukupi.

Pemerhatian ini jelas menunjukkan, rakyat negara memerlukan panduan yang baik dalam pengurusan kewangan. Ia bukan sekadar mendidik pengetahuan rakyat dalam literasi kewangan, namun turut dapat membantu pertumbuhan ekonomi Malaysia.