Penglibatan individu pada alam perniagaan nyata semakin meningkat sejak tahun lalu, apabila sehingga tahun 2020 – sekitar 489,000 pedaftaran perniagaan baharu telah dicatatkan.
Data Syarikat Suruhanjaya Malaysia (SSM) ini jelas menunjukkan kesan pandemik Mac lalu telah membuka ruang kepada semua pihak untuk membangunkan perniagaan tersendiri.
Malah, peningkatan itu dilihat telah melebihi sasaran asal sekitar 270,000 penglibatan premis baharu.
Menurut Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) – sebahagian daripada pendaftaran itu meliputi perniagaan secara atas talian dan platform e-dagang.
Ternyata ruang atas talian telah meningkatkan semula aliran pertumbuhan negara khususnya meliputi segmen perniagaan. Untuk makluman, berdasarkan data UOB dan Bank Negara Malaysia (BNM), platform e-dagang pada 2019 telah menyumbang sekitar RM127 bilion iaitu sebanyak 8.4% kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Menerusi catatan ini dijangkakan perbelanjaan pengguna akan terus menjadi pencetus kepada petumbuhan ekonomi negara dengan kadar 60% dari KDNK.