Artikel

Moody’s Kemaskini Penarafan Sistem Perbankan Malaysia – Dari ‘Negatif’ Kepada ‘Stabil’

Entiti penarafan antarabangsa, Moody’s Investors Service kini telah mengemaskini kedudukan sistem perbankan Malaysia dari negatif kepada stabil.

Ini secara tidak langsung menunjukkan pemulihan pada persekitaran sistem pebankan negara semakin bertambah baik.

Antara faktor pendorong perubahan penarafan tersebut adalah disebabkan perbelanjaan kerajaan dan dana fiskal yang diagihkan untuk kebajikan, pelindungan ekonomi negara.

Penurunan kos kredit telah membantu perbankan untuk meneliti semula peruntukan mereka tahun lalu, malah kualiti aset bank yang masih stabil dan peningkatan margin kadar bersih secara beransur juga turut membantu prestasi perbankan.

Menerusi momentum ini – perbankan akan terus memiliki tahap kecairan yang mencukupi untuk melepasi kejutan pasaran semasa, kelak.

Usaha itu secara langsung memberi kesan yang positif kepada unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada paras 6.2% untuk tahun 2021.

Bukan itu sahaja, peningkatan permintaan komoditi serta eksport pada peringkat antarabangsa – turut membantu aliran pertumbuhan Malaysia.

Dorongan ini ternyata memberi kesan yang baik kepada negara.

Untuk makluman, sebelum ini pada 2 April 2020 – Moody’s telah mengubah penarafan industri perbankan negara dari stabil kepada negatif – ia disebabkan serangan pandemik telah mengugat dan memberi risiko kepada sektor ekonomi negara.

Tidak hanya Malaysia – sebanyak 11 negara lain turut mengalami penurunan penarafan.

Gangguan itu kini tidak lagi menjadi suatu bebanan buat Malaysia apabila pelbagai segmen perlindungan telah disalurkan pada industri negara. Menerusi perubahan ke arah stabil ini, sistem perbankan dapat terus memainkan peranan membantu ekonomi Malaysia.