Artikel

Pembukaan Sektor Ekonomi, Bantu Kurangkan Kerugian Negara Kepada RM300 Juta Sehari

Pada 20 Januari lalu, negara menyasarkan sekiranya pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan dilakukan, ia akan memberi kesan kepada ekonomi dan negara dijangka alami kerugian sekitar RM600 juta sehari. Namun ternyata jangkaan itu nyata bersifat sementara sahaja apabila, kerajaan mulai membuka sektor ekonomi.

Kini, negara mencatatkan kerugian sekitar RM300 juta sehari. Pembukaan lebih banyak sektor ekonomi seperti aktiviti perkhidmatan, operasi perniagaan telah berjaya mengurangkan kadar penurunan tersebut.

Untuk makluman, pada Mac 2020 – kerugian yang ditanggung negara pada PKP fasa pertama adalah di paras RM2.4 bilion sehari, dan setelah itu kepada RM600 juta sehari dan kini RM300 juta sehari.

Aliran penurunan kerugian ini nyata memberi kesan yang positif kepada sentimen pertumbuhan dan perolehan pendapatan negara.

Pembukaan aktiviti ekonomi tidak hanya membantu mengurangkan kerugian negara tetapi telah menstabilkan semula aspek tekanan kewangan yang sedang dihadapi oleh rakyat.

Bagaimanapun, menurut Menteri Kewangan Tengku Zafrul – sentimen ekonomi masih berpandukan kepada keupayaan negara dalam menangani pandemik COVID-19. Keseimbangan kesihatan ini dapat meningkatkan semula pemulihan pertumbuhan, khususnya merangkumi permintaan pasaran luar.

Sekiranya negara leka dan pelaksanaan PKP secara berterusan dilakukan, ia akan memberi kesan yang lebih besar kepada ekonomi negara kelak.