Artikel

Pelaksanaan PKP Dorong Malaysia Kerugian RM600 Juta Sehari – Tengku Zafrul

Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sememangnya akan memberikan kesan yang mendalam kepada ekonomi negara. Menteri Kewangan, Tengku Zafrul menyatakan kerajaan menjangkakan negara akan alami kerugian sekitar RM600 juta sehari disebabkan pelaksanaan PKP fasa kedua ini.

Namun, jangkaan angka tersebut dilihat jauh lebih rendah berbanding pelaksanaan PKP pada Mac 2020 lalu yang mencatatkan kerugian sekitar RM2.4 bilion sehari untuk pertumbuhan ekonomi negara.

Penurunan kerugian tersebut didorong usaha kerajaan dalam membenarkan 5 sektor ekonomi utama negara terus beroperasi. Lima sektor telah dikenal-pasti yang dibenarkan beroperasi dan dikategorikan sebagai sektor ekonomi perlu.

Ia terdiri daripada sektor pengilangan dan pembuatan, pembinaan, perkhidmatan, perdagangan dan pengedaran, serta perladangan dan komoditi.

Malah, dengan adanya pengenalan Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) ia mampu merangsang semula aliran pertumbuhan negara.

Bagaimanapun, penulis berpendapat untuk jangka masa yang pendek, tujuan pelaksanaan PKP ini adalah bersifat efektif – namun sekiranya ia dilanjutkan maka negara akan mengalami penurunan pertumbuhan secara mendadak. Pelbagai faktor perlu diambil kira seperti status pekerjaan, pemotongan gaji, kos operasi perniagaan dan kesihatan mental.

Sebelum ini lanjutan PKPB di seluruh negara telah dihentikan berikutan RM300 juta kerugian sehari telah dicatatkan, dan ia telah merencatkan ekonomi negara.

Jadi sekiranya kerugian RM600 juta sehari ini diteruskan, ia berkemungkinan memberi impak yang lebih tinggi pada aliran ekonomi negara.