Artikel

Gojek, Tokopedia Bakal Bergabung Seawal Bulan Ini? – Laporan

Sebelum ini, pada 5 Januari lalu terdapat laporan mengatakan dua entiti teknologi gergasi milik Indonesia iaitu Gojek dan Tokopedia bakal alami penggabungan.

Ternyata, laporan Bloomberg hari ini (10 Februari) memaparkan kedua-dua entiti tersebut sedang mencapai persetujuan tersebut pada bulan ini. Perjalanan penyenaraian awam kedua pihak dilihat merangkumi agihan pegangan saham Gojek sekitar 60%, manakala Tokopedia pula pada anggaran saham 40%.

Berdasarkan sumber terdekat, perbincangan penggabungan tersebut dilihat bersifat peribadi dan nilai sasaran pasaran awam dianggarkan sekitar AS35 bilion (RM141.4 bilion) hingga AS$40 bilion (RM161.6 bilion).

Bagaimanapun, setakat ini kedua-dua wakil entiti tidak memberi maklum balas terhadap laporan tersebut.

Antara sentimen lain yang turut dilaporkan adalah perbincangan kedua-dua pihak berhubung pembangunan pusat tenaga internet di Indonesia, serta penerapan pembayaran digital – fokus kepada segmen jual beli barangan secara atas talian.

Melihat pada situasi ini, sasaran gabungan ini berkemungkinan membawa kepada penyenaraian awam gabungan entiti di Indonesia dan Amerika Syarikat – namun kedua-dua pihak dikhabarkan masih lagi berunding dan memerlukan masa yang lebih lama untuk mencapai persetujuan akhir.