Artikel

Neelofa Bakal Hadir Dengan Platform Edagang Tersendiri – Noor Commerce

Ternyata percaturan Neelofa dalam arena perniagaan tidak hanya tertumpu kepada pengkhususan sesebuah produk atau aplikasi sahaja. Melalui sumber rapat Rnggt, Neelofa kini dalam perancangan untuk hadir dengan platform edagang tersendiri yang dinamakan sebagai Noor Commerce.

Ia dilihat penjenamaan Noor digunakan untuk pelbagai produk berkaitan digital yang diterajui oleh Neelofa. Pada minggu ini aplikasi gaya hidup muslim TheNoor telah diperkenalkan, dan ia turut dijangka diperluaskan dengan penyertaan ciri TheNoor Pay untuk pembayaran nirtunai di kedai atas-talian mahupun di kedai fizikal.

Noor Commerce dijangka akan melengkapkan lagi ekosistem berkenaan – memudahkan pengguna untuk berjual-beli, selain untuk peniaga turut menggunakannya dalam memasarkan produk mereka. Sekiranya dipasarkan dengan betul, tidak mustahil ia menjadi laman edagang yang dapat bersaing dengan Shopee dan Lazada pada hari ini.

Malahan, penulis berpendapat tindakan Neelofa menceburi arena ini suatu langkah yang bijak. Ini kerana permintaan ekonomi negara kini sudah mulai tertumpu kepada pembelian atas-talian. Selain itu, lebih 70% rakyat Malaysia kini gemar melakukan pembelian secara nirtunai (tanpa tunai) dapat meningkatkan lagi pasaran edagang.

Dengan penjenamaan dibawah Noor juga, kita mungkin akan dapat melihat platform edagang ini memfokuskan kepada penawaran mesra pengguna muslim melaluinya kelak. Arena ini turut pernah diceburi oleh beberapa pihak lain sebelum ini, dan salah satunya adalah AladdinStreet.

Buat masa ini, tarikh pelancaran rasmi untuk platform edagang Noor Commmerce ini masih tidak diketahui lagi.