Artikel

Proklamasi Darurat Tangani Isu Kebajikan Para Pekerja

Apabila Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah perkenan pengisytiharan Proklamasi Darurat pada 12 Januari lalu di bawah Perkara 150(1) Perlembagaan Persekutuan, berkuat kuasa sehingga 1 Ogos 2021 kelak – ia ternyata mengejutkan semua pihak. Malah, ada yang turut mengaitkan penetapan tersebut dengan kedudukan politik semasa.

Namun, Menteri Kanan (Keselamatan) Dato’ Sri Ismail Sabri menyelar tanggapan tersebut, tujuan utama Proklamasi Darurat adalah untuk membantu sektor kesihatan dan ekonomi negara.

“Undang-undang ini juga bertujuan mencegah berlaku kesalahan yang berulang. Sekiranya dinaikkan jumlah denda, mungkin individu atau syarikat akan berasa takut untuk mengulangi kesalahan sama,”

Melalui pengisytiharan tersebut ia dapat memudahkan pelaksanaan kerajaan ke atas penguatkuasaan ordinan baharu tanpa perlu mendapat kelulusan di Parlimen.

Menurut DS Ismail Sabri pada laporan Bernama, penularan kes COVID-19 rata-ratanya meningkat di kalangan pekerja pengeluaran. Antara faktornya syarikat dilihat lebih memilih keuntungan dan mengabaikan kepentingan kebajikan para pekerja, seperti penempatan yang tidak terurus.

Maka pembentukan undang-undang di bawah ordinan baharu dapat mengekang dan mengenakan denda ke atas syarikat atau individu yang terlibat.

Bagaimanapun, sektor awam pada peringkat negeri dan persekutuan diberi jaminan tidak akan terganggu meskipun negara di bawah Proklamasi Darurat.

Setakat ini, Jabatan Peguam Negara (AGC) sedang melakukan persediaan draf ordinan, dan akan diumumkan dalam masa terdekat.