Artikel

Kadar OPR Dijangka Lebih Rendah, Sekiranya PKP Dilanjutkan – CGS-CIMB

Jika sebelum ini OCBC menjangkakan Kadar Dasar Semalaman (OPR) akan menurun kepada paras 1.50% – kini CGS-CIMB turut menjangkakan perihal yang sama.

Sekiranya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terus dilanjutkan hingga suatu tempoh yang lebih lama, CGS-CIMB tidak menolak kemungkinan paras OPR akan diturunkan lebih tinggi.

Namun menerusi penawaran di bawah Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) berjumlah RM15 bilion dilihat mampu menghalang kelonggaran dasar monetari dilakukan oleh Bank Negara Malaysia (BNM).

Maka, firma penyelidikan CGS-CIMB mengharapkan kadar OPR negara tidak kan mengalami perubahan dan masih mampu dikekalkan pada paras 1.75% ketika ini.

Bagaimanapun, kadar semasa OPR hanya akan diketahui setelah mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) dilakukan.

Pada dapatan yang sama, pihaknya turut menganggarkan bahawa gabungan perbelanjaan kerajaan tambahan pada PERMAI adalah tidak melebihi daripada RM2 bilion atau 0.1% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

CGS-CIMB yakin kerajaan memiliki ruang yang cukup untuk melakukan tindakan pantas pada perbelanjaan Belanjawan 2021 dan atasi defisit anggaran 5.4% dari KDNK – bagi menampung perbelanjaan tambahan.