Artikel

OPR Dijangka Turun Kepada Paras 1.50% – OCBC

OCBC Bank Research menjangkakan Bank Negara Malaysia (BNM) kemungkinan akan menurunkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 1.50% pada mesyuarat jawatankuasa dasar monetari pada 20 Januari kelak.

Untuk makluman, ketika ini BNM masih mengekalkan paras OPR kepada 1.75%.

Jangkaan penurunan itu dilakukan berikutan prospek ekonomi negara dilihat kian lemah.

Tindakan negara melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Proklamasi Darurat dikatakan boleh mempengaruhi pertumbuhan ekonomi negara.

Pakar Ekonomi – Wellian Wiranto mengatakan langkah-langkah baharu dapat menyaksikan pertumbuhan negara akan menjadi lebih terbatas pada suku pertama, meskipun aliran eksport negara berada dalam keadaan baik namun itu tidak menjamin pertumbuhan keseluruhan.

Malah, Wellian juga berpendapat kadar pengangguran akan terus meningkat, dan ini akan memberi tekanan tinggi kepada bahagian tenaga kerja serta pengeluaran.

Walaupun pihak kerajaan menyatakan ia hanya dalam masa 2 minggu namun tempoh tersebut dapat dilanjutkan sekiranya kes positif COVID-19 masih lagi papar kenaikan.

Bagaimanapun, melihat situasi semasa pihaknya menjangkakan secara keseluruhan tahun ini, kadar pertumbuhan mungkin mencapai sekitar 5.7% untuk tahun ke tahun.