Artikel

Pembatalan Tahun Melawat Malaysia 2020, Dorong Kerugian Negara Sekitar RM100 Bilion

Negara kini dianggarkan mengalami kerugian sekitar RM100 bilion, berikutan pembatalan Kempen Tahun Melawat Malaysia 2020.

Kenyataan itu dimaklumkan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Nancy Shukri pada sidang Dewan Rakyat hari ini – situasi semasa pandemik yang mengekang serta merencatkan perjalanan pelan pelancongan negara.

Bukan sahaja industri penerbangan, bahkan aktiviti ekonomi setempat turut merasai kesan kerugiaannya – ini kerana pelaksanaan Perintah Kawalan Bersyarat (PKPB) telah memperlahankan fasa pemulihan pertumbuhan.

Berbanding perjalanan domestik, bahagian antarabangsa antara faktor yang menjadikan kerugian besar tersebut dicatatkan. Untuk makluman, perjalanan kemasukan tertinggi pernah dicatatkan adalah dari negara China.

Penutupan pintu sempadan secara tidak langsung telah mengehadkan faktor tersebut.

Sebelum ini, negara pernah disasarkan akan mengalami kerugian sekitar RM51 bilion sehingga RM60 bilion – ternyata angka tersebut jauh lebih tinggi berikutan kempen Tahun Melawat Malaysia 2020 ini.

Setakat ini, MOTAC sedang membangunkan semula industri negara dan merancang perjalanan kemasukan pelancong asing. Malah, kempen Malaysia Truly Asia turut akan ditingkatkan semula dengan kerjasama Tourism Malaysia.

Sasaran utama ketika ini adalah kemasukan pelancong dari jarak sederhana seperti Asia Timur. Usaha itu dijangka dapat meningkatkan semula pertumbuhan pasaran dan ekonomi Malaysia.