Artikel

Menuju 2021: Industri Pelancongan Malaysia Kekal Merudum

Bemula hari ini (23 September) negara sedang menghitung 100 hari sebelum menjelangnya tahun 2021.

Melihat pada kenyataan itu, pelbagai persediaan perlu dirangka bagi memasikan negara telah bersedia – ini termasuklah persediaan sektor pelancongan Malaysia.

Tahukah anda, disebabkan ketidaktentuan ekonomi dunia dan krisis pandemik pada ketika ini ia telah menyebabkan penyusutan pada sektor pelancongan negara – di mana menurut Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Malaysia (MOTAC) telah menganggarkan sektor ini akan mengalami kerugian sekitar RM51 bilion sehingga RM60 bilion.

Ini bermakna sekitar 60% kemerosotan pada industri pelancongan terpaksa ditanggung oleh negara.

Situasi ini merangkumi perjalanan ruang udara terpaksa dihentikan seketika, tempahan penginapan terpaksa dibatalkan, premis dan agensi pelancongan terpaksa menutup operasi serta paling menyedihkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DoSM) telah menganggarkan seramai 1 juta dari 3.5 juta tenaga kerja pelancongan tempatan terpaksa diberhentikan pekerjaan mereka.

Malah pada tahun ini juga, sepatutnya negara sedang melangsungkan kempen Tahun Melawat Malaysia 2020 – namun ternyata perkara itu terpaksa ditangguhkan ke tahun hadapan.

Kenyataan itu secara tidak langsung menyatakan anggaran perolehan bagi kempen tersebut adalah RM100 bilion dan kehadiran pelancong asing seramai 30 juta tidak dapat direalisasikan.

Jadi, adakah ini bermaksud sektor pelancongan negara kekal merudum? Jawapannya adalah benar.

Rata-rata pemain industri mula melontarkan pendapat bahawa fasa pemulihan untuk sektor pelancongan memerlukan sekurang-kurangnya dua tahun hingga empat tahun.

Ia tidak hanya tertumpu kepada bahagian pengangkutan seperti penerbangan, bas mahupun kenderaan persendirian sahaja. Akan tetapi ia merangkumi premis perniagaan pada kawasan pelancongan setempat. Itu bermakna kesan yang diterima adalah menyeluruh dan paling penting tenaga kerja bawahan pada sektor ini terpaksa menanggung kerugian yang paling besar – iaitu terpaksa berhenti pekerjaan.

Benar, situasi ketika ini tiada pihak yang bersedia dan menjangkakan akan berlaku kegawatan – namun bukankah pihak MOTAC sepatutnya lebih bersedia berbanding dengan pihak lain? Ini kerana, penularan COVID-19 ini telah mula berlaku sejak akhir tahun 2019 dan sektor pelancongan antara yang terawal mengetahui kesan tersebut. China terlebih dahulu telah menutup ruang perjalanan udara bagi mengekang penularan wabak ke seluruh dunia.

Untuk makluman tahun lalu seramai 2.4 juta pelancong China dicatatkan di Malaysia. Oleh itu, sekiranya China sendiri telah menutup pintu masuk negara mereka maka ia secara tidak langsung memberikan petanda kepada penyusutan keuntungan pelancongan dunia.

Sektor pelancongan negara seharusnya mengambil iktibar menerusi situasi ini. Penurunan pada perolehan industri tidak akan dapat diselasaikan dalam masa 12 bulan. Namun penulis yakin, tahun 2021 adalah fasa yang terbaik untuk pelancongan domestik negara diperluaskan.

Bukan sahaja dari segi kempen meningkatkan keuntungan tetapi turut merangkumi peningkatan pada pembangunan fasiliti untuk pelancongan domestik negara.