Artikel

2,000 Pekerja Malindo Bakal Diberhentikan – Laporan

Syarikat penerbangan, Malindo Airways kini dikhabarkan akan memberhentikan sekitar 2,000 kakitangannya berikutan kedudukan operasi yang terjejas disebabkan krisis COVID-19.

Untuk makluman, sebelum ini pada 12 Oktober lalu – syarikat penerbangan tersebut pernah merancang untuk memberhentikan sekitar 2,200 kakitangannya daripada 3,200 pekerja keseluruhan.

Selain pengurangan tenaga kerja, syarikat tersebut juga turut mengurangkan kapasiti pesawat mereka kepada 5 jet Boeing 737 dan 6 enjin jet (turboprop) ATR sahaja.

Malah isu pembayaran gaji kakitangan juga turut menjadi antara komitmen tinggi Malindo.

Berdasarkan laporan The Malaysia Insight, syarikat tersebut sekadar memperolehi 10% daripada pendapatan bulanan sebelum krisis COVID-19 berlaku.

Bagaimanapun, ini bukanlah kerugian pertama yang terpaksa dilalui Malindo, sebelum ini bersama pemegang sahamnya Lion Air Group Indonesia, turut pernah mencatatkan kerugian selepas cukai sebanyak RM582.77 juta untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2018.