79 hari sebelum memasuki tahun 2021 – bermula hari ini (14 Oktober) Selangor, Putrajaya dan Wilayah Persekutuan telah dikuatkuasakan untuk mengikuti Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), selama 2 minggu iaitu 14 hari.
Meskipun, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengatakan operasi perniagaan tidak akan terjejas dan operasi akan berjalan seperti biasa, namun tidak semua golongan mampu menarik nafas lega akan pengumuman tersebut. Khususnya kumpulan B40.
Ternyata tindakan penguatkuasaan PKPB ini ibarat mimpi buruk buat golongan kelas B40, iaitu individu yang memiliki pendapatan isi bulanan kurang dari RM4,000.
Mengapa penulis berkata sedemikian?
Ada diantara mereka merupakan bekerja bersama syarikat tertentu, menjadi pekerja sambilan, terlibat dalam arena ekonomi gig dan ada yang mula membangunkan perniagaan sendiri.
Dua hari sebelum penguatkuasaan PKPB, penulis telah melihat banyak keluhan yang mengatakan terdapat ramai pihak bakal mengalami kerugian yang besar dalam tempoh 14 hari ini. Bahkan, adanya mengatakan dalam tempoh PKPB ini berkemungkinan besar mampu membawa kepada pengangguran mereka.
Mengejutkan.
Keluhan ini kebanyakan kedengaran dari mereka yang menjalankan operasi perniagaan persendirian seperti bergantung kepada kaedah tempahan. Antara keluhan yang diterima adalah dari perniagaan perkahwinan, acara sosial atau korporat, tempahan fotografi, makanan, dan barangan. Tidakkah ini membawa kesan yang besar pada ekonomi negara?
Mereka terpaksa menanggung kos pembatalan tempahan dan terpaksa menanggung kos kerugian operasi.
Rata-rata kumpulan B40 adalah kelompok yang berkerja dibawah syarikat. Kini terdapat pula spekulasi mengatakan pusat membeli-belah pada daerah PKPB terpaksa menghentikan seketika pekerja sambilan mereka bagi tujuan menanggung kos kerugian ketidakhadiran pelanggan di pusat membeli-belah terbabit.
Ketika mengetahui perihal ini, penulis terdiam seketika. Pelbagai persoalan bermain di fikiran. Tetapi tiada satu pun dapat membantu kumpulan ini.
Benar, penerapan PKPB bertujuan untuk menghentikan penularan wabak COVID-19 di kawasan terbabit, tetapi kenyataan PM Muhyiddin mengatakan ‘Kita Masih Belum Terlambat” ini dilihat sesuatu yang memeritkan buat kumpulan B40.
Apa jaminan kumpulan ini mampu meneruskan kelangsungan kehidupan? Apa alternatif kerajaan dalam membantu komitmen mereka untuk 14 hari ini? Tiada. Sekadar menegaskan semua pihak mengikuti garis panduan yang ditetapkan.
Semua pihak perlu sedar, dibawah kumpulan B40 ini terdapatnya komuniti kemiskinan tegar iaitu kelas yang memiliki isi pendapatan kurang dari penetapan kadar minimum negara. Mereka inilah yang paling terkesan, sekiranya terpaksa diberhentikan atau terpaksa menanggung komitmen tanpa sebarang jaminan.
Penulis sedar, terlalu awal untuk menjangkakan keadaan ini. Namun ini adalah jangkaan realiti yang semua pihak perlu ketahui. Tidak semua individu di Malaysia ini mampu menarik nafas lega akan situasi kini, adanya sanggup mencederakan diri dari terus mengharungi situasi ini.