Artikel

Mengapa Anda Tergolong Dalam Kumpulan B40?

Sekiranya anda antara individu yang memiliki pendapatan isi bulanan kurang dari RM4,000 – maka anda adalah golongan kumpulan B40.

Mengapa?

Ini kerana negara telah dibahagikan kepada 3 bahagian pengelasan rakyat. Penetapan tersebut berdasarkan kepada pendapatan isi bulanan dan jumlah purata populasi negara. Ia terdiri daripada kelas terendah B40 (jumlah purata 40% rakyat), kelas pertengahan M40 (jumlah purata 40% rakyat) dan kelas tertinggi, T20 (jumlah purata 20% rakyat).

Untuk makluman, populasi rakyat Malaysia kini telah dianggarkan berjumlah 32.7 juta individu. Kenyataan ini telah disahkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia.

Namun, terdapatnya jurang yang begitu tinggi bagi kumpulan B40 dari bandar serta luar bandar negeri?

Kenyataan ini dilihat berdasarkan taburan senarai negeri pada Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan hanya beberapa buah negeri sahaja yang mencapai purata pendapatan melebihi RM5,000 ke atas.

Adakah ianya satu masalah?

Jawapannya adalah Ya dan Tidak.

Ya, kerana ketidaksamaan pendapatan dalam sesebuah negara boleh mengugat pertumbuhan ekonomi. Ketidaksamaan pendapatan ini boleh mendorong kepada faktor kadar kemiskinan. Seperti yang kita ketahui di bawah kumpulan B40 ini terdapat individu yang memiliki pendapatan kemiskinan tegar.

Menurut Pegawai Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Philip Alston, kadar kemiskinan sebenar di Malaysia adalah jauh lebih tinggi, iaitu pada kadar kira-kira 15%. Namun JPM pada 2016, telah menyatakan kadar kemiskinan Malaysia telah menurun kepada 0.4%. Bagaimanapun, PBB telah menyarankan penilaian semula perlu dilakukan.

Walaupun Malaysia berjaya mencapai pertumbuhan yang mengagumkan dalam pengurangan kadar kemiskinan, namun peratusan tersebut masih lagi tinggi. Di mana ia secara tidak langsung akan memberi kesan bukan sahaja kepada sektor ekonomi, namun politik dan sosial turut terpalit.

Tidak, kerana anda perlu berbangga bahawa anda adalah pengguna utama yang sentiasa memastikan aliran tunai negara sentiasa berlaku. Kewujudan kumpulan B40 ini amat penting kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Rata-rata individu di bawah kumpulan ini bekerja di bahagian perkhidmatan, pengeluaran produk dan secara persendirian.

Meskipun, anda adalah individu yang berada pada kumpulan pendapatan terendah. Namun, anda berperanan dalam membeli keperluan harian pada sektor ekonomi. Menurut penganalisa ekonomi Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Ahmed Razman Abdul Latiff mengambil negeri Selangor sebagai contoh di mana pada catatan Oktober 2019 – secara purata isi rumah di negeri ini membelanjakan sebanyak 26% pendapatan untuk perumahan, air, elektrik dan gas, manakala 14.8% pula untuk makanan dan minuman bukan alkohol.

Perihal ini membawa kepada aliran tunai pada ekonomi setempat. Amalan itu secara tidak langsung dapat membangunkan operasi dan permintaan ekonomi pada kawasan terbabit.

Proses ini adalah sesuatu yang baik buat aliran transaksi negara.

Bagaimana pula dengan kumpulan berpendapatan rendah di negara jiran?

Pengkelasan kumpulan rakyat bagi negara jiran dilihat sedikit berbeza, di mana pembahagian tersebut dilakukan berdasarkan kepada status pekerjaan individu dan indsutri ekonomi mereka.

Jika kita pada negara Thailand dan Filipina. Kedua-dua negara ini mengutamakan sektor pertanian sebagai sumber ekonomi utama negara dan pengkelasan kumpulan pendapatan dilihat seakan sama dengan kaedah Malaysia. Di mana terdapat tiga kumpulan yang dibahagikan. Namun sedikit berbeza dengan kadar purata pendapatan. Ini kerana perbezaan populasi serta pertumbuhan ekonomi yang berbeza.

Manakala Indonesia pula turut mengamalkan pembahagian kelas rakyat. Namun, penetapan ini tidak dilakukan secara tetap ia hanya berdasarkan kepada perubahan pada data isi bulanan rakyat sahaja. Pengkelasan rakyat Indonesia dilakukan lebih terperinci di mana kelas pertengahan dan kelas tinggi memiliki sub kelas yang lain juga.

Mampukah kita mencapai status negara tanpa kumpulan B40?

Untuk mencapai sasaran persoalan ini, beberapa perkara perlu dilaksanakan oleh pihak berkaitan iaitu Kerajaan negara dan masyarakat sendiri. Antara perkara yang boleh difokuskan adalah menurunkan kadar kemiskinan tegar, meningkatkan taraf pendidikan individu serta tiada lagi pengasingan ekonomi komersial.

Menyingkap tentang kadar kemiskinan ini adalah sesuatu yang subjektif. Di mana penilaian semula bagi perancangan bandar perlu dilakukan. Ini kerana pada catatan JPM bagi 2014, dianggarkan 50,000 individu telah tergolong pada kadar kemiskinan tegar di bandar. Ini tidak termasuk dengan catatan luar bandar serta krisis ekonomi yang sedang berlaku pada ketika ini.

Namun, terbaharu JPM 2019 telah mengeluarkan had PGK terkini – di mana RM2,208 adalah had baharu bagi PGK negara. Ini secara tidak langsung meningkatkan kadar kemiskinan negara, sebelum ini 16,653 (0.4%) kepada 405,441 (5.6%).

Melihat pada angka tersebut, negara perlu mengubah strategi dalam menyediakan peluang pekerjaan atau penurunan taraf hidup masyarakat. Ia perlu dilakukan secara berperingkat.

Manakala bercerita pula tentang taraf pendidikan. Menurut pandangan fungsionalisme, pendidikan mempunyai peranan penting sebagai alat mobiliti sosial. Ianya berkait rapat dengan stratifikasi sosial. Senario ini tercetus kerana ketidakseimbangan pencapaian di antara individu di dalam masyarakat telah menyebabkan wujudnya pengkelasan sosial dalam masyarakat. Saya melihat perbezaan yang begitu ketara dilakukan apabila keputusan pendidikan tidak mencapai sasaran yang diinginkan maka, peluang pada individu dilihat semakin merudum.

Seterusnya, sejak awal lagi kita ketahui pada zaman Tanah Melayu telah wujudnya penerapan Dasar Pecah dan Perintah yang telah mengasingkan corak kegiatan ekonomi komersial pada masyarakat negara. Penerapan itu telah membawa kepada stigma perbezaan kelas sosial yang begitu ketara sehingga hari ini. Kita dapat melihat kedudukan kelas dan pekerjaan individu dijadikan pengukur kepada mobiliti sosial masyarakat negara.

Oleh itu, bagi mencapai sasaran persoalan ini – ia bukanlah sesuatu yang mudah. Ini kerana, sekiranya terdapat kumpulan berpendapatan tinggi dalam sesebuah negara, sudah pasti akan wujudnya kumpulan berpendapatan rendah. Pelbagai faktor perlu diteliti dan dinilai semula bagi memastikan setiap kumpulan pendapatan negara dapat memperolehi manfaat ekonomi negara daripada tertindas.