93 hari sebelum tibanya tahun 2021, kadar muflis dalam kalangan rakyat negara dilihat semakin meningkat.
Isu ini sebenarnya tidak berlaku disebabkan krisis COVID-19 sahaja tetapi ia telah wujud untuk sekian lamanya dan ini menjadi antara permasalahan negara Malaysia yang sukar diatasi.
Tahukah anda, pada tahun lalu (2019) lebih 80% kadar hutang isi rumah negara bagi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) telah meningkat. Ini bermakna majoriti rakyat Malaysia telah dibebani komitmen hutang.
Kenyataan ini turut disokong oleh Profesor Emeritus Datuk Dr Norma Mansor yang mengatakan berdasarkan kajian selidik yang dilakukan oleh Universiti Malaya – mereka mendapati perbelanjaan isi rumah melebihi jumlah pendapatan yang sedia ada telah dilakukan.
Perkara ini secara jelas menjadi antara pendorong utama kepada faktor muflis rakyat negara.
Malah, bukan itu sahaja – Bank Dunia melalui kajian Pantauan Ekonomi Malaysia Disember 2019 telah mendedahkan sekitar 60% daripada kumpulan individu muflis di Malaysia adalah terdiri daripada golongan belia. Iaitu yang berumur di antara 25 tahun sehingga 44 tahun.
Pendedahan tersebut sememangnya mengejutkan ramai pihak. Data itu dicatatkan sebelum berlakunya krisis dunia pada ketika ini. Sekiranya dilihat pada situasi semasa – sudah pasti angka muflis ini akan berterusan meningkat.
Ini kerana menerusi laporan Sinar Harian – Profesor Madya Dr Husniyah Abd Rahim@Abdul Wahab, Persatuan Ekonomi Keluarga dan Pengguna Malaysia mengatakan kadar mulis sesebuah negara akan meningkat bergantung kepada bilangan tunggakan pinjaman termasuklah kadar faedah, kadar pengangguran, had kredit serta kadar penceraian.
Penyataan itu secara tidak langsung memberi gambaran angka muflis individu negara akan terus meningkat. Seperti yang umum ketahui kini kadar pengangguran negara telah mencecah sehingga 4.7% iaitu lebih 700,000 penganggur dicatatkan.
Jangkaan ini turut diperkukuhkan lagi menerusi laporan pada hari ini (30 September) mengatakan pengguna kad kredit rakyat Malaysia telah meningkat hampir sekali ganda pada bulan Julai 2020 berbanding April 2020.
Benar, penulis seringkali memberi peringatan kepada rakyat negara untuk terus berbelanja dengan meningkatkan aliran tunai negara. Namun bukan dengan kaedah dibebani amaun hutang yang tinggi.
Tindakan untuk berbelanja melebihi had pendapatan ini ternyata bukanlah suatu perbuatan yang bijak dalam kewangan individu.
Meskipun Jabatan Insolvensi Malaysia mengatakan pengurangan angka muflis bagi tahun ini sehingga Mei 2020 mencatatkan penurunan dengan hanya 2,591 individu sahaja.
Namun ia bukanlah data sebenar bagi angka muflis. Ini kerana disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan serta pemberian moratorium telah membantu rakyat negara mengata permasalahan tersebut.
Bagaimanapun, dijangka kadar muflis sebenar dapat dilihat menjelang tahun 2021 kelak – setelah tamatnya segala tempoh saluran bantuan.