Tepat jam 9.20 pagi bertempat di Istana Negara – Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj telah mulai menyerahkan surat peletakan jawatannya selaku Perdana Menteri negara kepada Yang di-Pertuan Agong baharu iaitu Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah.
Selang beberapa minit, kelihatan Timbalan Perdana Menteri – Tun Abdul Razak mula memasuki bilik sambil dikawal rapi oleh Grand Chamberlain bagi pertabalan selaku pemimpin baharu negara.
Detik sejarah kali ini adalah peristiwa di mana Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Perdana Menteri Pertama Malaysia telah terpaksa meletakkan jawatannya pada tanggal 22 September 1970.
Peristiwa itu berlaku disebabkan tragedi rusuhan kaum pada 13 Mei 1969. Sejarah itu telah membawa pelbagai kritikan ke atas kaedah pengendalian Tunku selaku ketua parti Umno. Konflik tersebut ternyata membawa kepada situasi yang lebih darurat kepada negara Malaysia.
Secara tidak langsung, ia telah membataskan kedudukan Tunku selaku pemimpin tertinggi negara secara besar-besaran dan telah menyebabkan Tunku terpaksa melepaskan tanggungjawabnya selaku Perdana Menteri Malaysia.
Maka, terjadilah peristiwa detik sejarah kali ini.
Ternyata pengunduran diri Bapa Kemerdekaan dan Bapa Malaysia ini sedikit sebanyak memberi kesan yang mendalam kepada pentadbiran Malaysia.
Selaku individu pertama yang menerajui bahagian pemerintahan negara sudah pasti banyak peninggalan perjuangan pada kebebasan negara yang telah dilakukannya.
Menyingkap kembali perjalanan beliau dalam pemerintahan negara – antara percapaian tertinggi yang pasti diingati ramai adalah Pembentukan Malaysia pada 1963. Peristiwa itu amat penting buat negara dalam menyatukan Sabah, Sarawak dan Singapura di bawah pimpinan Malaysia.
Ia adalah suatu sejarah yang membawa kepada pembentukan Malaysia pada masa ini.