Artikel

16 September 1963 – Pembentukan Sabah, Sarawak, Singapura Dibawah Naungan Malaysia

Tanggal 16 September 1963 adalah merupakan detik yang cukup bermakna buat negara, ia memperlihatkan gabungan Sarawak, Borneo Utara (Sabah) dan Singapura dibawah naungan Malaysia.

Untuk mengapai kata sepakat ini bukanlah suatu perkara yang mudah buat negara. Pada awal cadangan pembentukan tersebut – Sarawak dan Sabah telah menolak gagasan ini, pada ketika itu mereka tidak memiliki keyakinan terhadap Malaysia berbanding pemerintahan mereka sendiri.

Bagaimanapun setelah jaminan pemerintahan diberikan, Sarawak dan Sabah telah menyatakan persetujuan penyertaan pembentukan mereka.

Meskipun negara telah memperolehi persetujuan dari semua pihak, sesi pengisytiharan sering kali mengalami gangguan campur tangan pihak luar.

Di sinilah kita dapat lihat fungsi Suruhanjaya Cobbold dibentuk pada tahun 1962. Ia berperanan memantau pandangan rakyat ketika itu tentang perancangan gagasan Malaysia ini. Tugas tersebut telah dilaksanakan oleh beberapa wakil kerajaan British, antaranya adalah Lord Cobbold bersama wakil kerajaan negara iaitu Datuk Wong Pow Nee dan Mohamed Ghazali Shafie H. Harris.

Hasil pemantauan, sekitar 80% bersetuju akan pembentukan gagasan tersebut.

Pada awalnya negara merancang untuk melakukan pengisytiharan pembentukan pada 1 Jun 1963, tetapi terpaksa ditangguh kepada 31 Ogos 1963, namun disebabkan menerima kritikan dan bantahan daripada Indonesia serta Filipina ia telah memperlahankan pelaksanaan tersebut.

Susulan itu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggunakan ruang itu dengan melakukan bancian pungutan suara rakyat di Sarawak dan Sabah untuk kali kedua.

Wakil PBB, Lawrence Michelmore telah mengeluarkan laporan dengan mengatakan hampir keseluruhan rakyat negeri ketika itu telah bersetuju untuk turut serta pada pembentukan Malaysia.

Maka, terbentuklah kesepakatan bersama dengan pengisytiharan Sarawak, Sabah dan Singapura dibawah naungan Malaysia. Pengisytiharan tersebut telah diraikan di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada tanggal 16 September 1963.

Selamat Hari Malaysia!