Artikel

Olimpik Tokyo 2020 Tetap Diteruskan, Julai 2021 – IOC

Sukan Olimpik Tokyo 2020 bakal dilangsungkan pada tahun hadapan, 23 Julai 2021.

Menurut Naib Presiden Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC), John Coates – temasya tersebut tidak akan ditangguhkan lagi, meskipun ketika itu krisis COVID-19 masih berlarutan.

Seperti yang umum ketahui, disebabkan permasalahan pandemik pihak temasya terpaksa menangguhkan acara sukan terbabit.

Walaupun Olimpik Tokyo 2020 diteruskan, pihak pengurusan akan mengehadkan penglibatan orang ramai pada temasya tersebut. Ini termasuklah jumlah staf dan wakil atlet bagi setiap negara.

Setakat ini, lebih 11,000 atlet dari sekitar 200 negara dijadualkan untuk mengambil bahagian dalam Sukan 2020. Tidak jelas bagaimana sekatan perjalanan dapat mempengaruhi penyertaan mereka kerana sempadan Jepun pada masa ini sebahagian besarnya kini ditutup untuk pengunjung luar.

Tindakan itu seiring dengan polisi kesihatan untuk mengurangkan kadar risiko jangkitan antara individu.

Toshiro Muto, Ketua Ekskutif Tokyo 2020 turut mengatakan berkemungkinan besar tiada penglibatan penonton pada acara sukan terbesar itu. Bagaimanapun, perkara tersebut masih lagi dibawah pengamatan mereka.