Artikel

Apple Kini Lebih Bernilai Berbanding Seluruh Syarikat FTSE 100

Dua minggu lalu, Apple telah mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi syarikat AS pertama dengan modal pasaran mencapai nilai AS$2 trilion.

Namun kini Apple sekali lagi mengejutkan ramai pihak dengan menduduki nilai indeks saham teratas di pasaran United Kingdom (UK).

Penilaian bagi syarikat gergasi teknologi AS ini terus melonjak sehingga 4% dengan modal pasaran mencapai AS$2.3 trilion berbanding dengan nilai semua syarikat pada senarai FTSE 100, iaitu hanya AS$2.2 trilion sahaja.

Ini bermakna, Apple lebih bernilai dari 100 syarikat yang tersenarai pada Bursa Saham London.

Untuk makluman, Indeks Financial Times Stock Exchange 100 atau FTSE 100 adalah indeks saham dari 100 syarikat yang tersenarai di Bursa Saham London dengan permodalan pasaran tertinggi. Ia diukur berdasarkan prestasi perniagaan dibawah perundangan syarikat UK.

Menurut penganalisis pasaran – situasi ini didorong keyakinan yang tinggi oleh para pelabur pada sektor teknologi semakin meningkat.

Malah, rata-rata syarikat yang tersenarai pada FTSE 100 itu adalah terdiri daripada syarikat minyak dan bank-bank yang mengalami kerugian, telah menunjukkan prestasi yang perlahan berbanding harga saham syarikat teknologi AS.