Ternyata kini keyakinan pengguna semakin tinggi terhadap penggunaan platform ekonomi digital.
Perkara ini dapat dilihat berdasarkan peningkatan momentum pertumbuhan ekonomi digital berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Mac lalu.
Menurut Lazada, krisis COVID-19 telah mempercepatkan peralihan penggunaan teknologi kewangan Malaysia. Hampir separuh (53%) daripada populasi dewasa rakyat negara kini memilih membeli barangan keperluan menerusi atas talian.
Ketua Pegawai Eksekutif Lazada Malaysia Leo Chow mengatakan peningkatan pertumbuhan ini, tidak hanya terdiri daripada pembeli sahaja namun turut dalam kalangan para peniaga. Ini kerana, jumlah peniaga baharu di Lazada telah meningkat lebih daripada 200% pada separuh pertama tahun ini, dan menyatakan bahawa rakyat Malaysia juga semakin mencari penyelesaian dalam atas talian untuk memenuhi keperluan seharian mereka.
Situasi ini secara jelas turut menunjukkan rakyat Malaysia mula sedari bahawa platform seperti dompet digital mampu menghasilkan pembayaran digital – nirtunai yang lebih selamat, cekap dan menjimatkan kos. Transaksi antara pembeli dan penjual tidak lagi memerlukan penggunaan wang fizikal sewaktu pembayaran.
Peningkatan pertumbuhan ekonomi digital secara tidak langsung sejajar dengan inisiatif kerajaan pada Pelan Induk Ekonomi Digital yang akan diumumkan pada Oktober 2020. Tujuan pelan itu adalah untuk meningkatkan penglibatan kesemua sektor dalam peralihan pembangunan ekonomi digital negara.