Walmart, syarikat gergasi peruncitan Amerikas Syarikat (AS) kini mengatakan pihaknya akan berkerjasama dengan Microsoft, untuk memiliki TikTok.
Seperti yang umum ketahui pada 3 Ogos lalu, Microsoft telah mengeluarkan kenyataan untuk membeli operasi aplikasi China itu, pengambilalihan ini bukan sekadar meliputi rangkaian di AS sahaja namun turut merangkumi Kanada, Australia dan New Zealand.
Tindakan itu berikutan tuduhan AS berhubung isu keselamatan serta data peribadi rakyat mereka telah diintip oleh pihak China. Situasi secara tidak langsung telah merumitkan lagi kedudukan perang perdagangan antara kedua buah negara tersebut.
Oleh itu, menerusi kerjasama antara Walmart dan Microsoft ini, ia dilihat dapat memenuhi jangkaan pengguna TikTok AS, dari aspek kawalan.
Menurut pemerhati, penglibatan Walmart dalam pembelian TikTok ini dijangka untuk membantu operasi mereka dalam memahami aliran pengguna muda bagi platform atas talian.
Pengarah Urusan GlobalData Retail, Neil Saunders mengatakan platform TikTok akan memberi kemudahan akses kepada Walmart untuk menarik pengguna yang berpotensi.
Tindakan ini secara tidak langsung dapat meningkatkan lagi persaingan peruncitan antara Walmart dan Amazon bagi platform atas talian. Selain itu, kesepakatan nilai pembelian TikTok ini dijangka mampu mencapai sekitar AS$35 bilion hingga AS$40 bilion.