Berita Microsoft beli TikTok hari ini (3 Ogos) mengejutkan ramai.
Ia turut mencetuskan pelbagai persoalan tentang mengapa tindakan itu dilakukan. Mengapa Microsoft memilih aplikasi milik syarikat dari China itu, sedangkan pertelingkahan politik antara dua negara tersebut masih berterusan.
Malah pengambilalihan ini bukan sekadar meliputi rangkaian di AS sahaja, namun turut merangkumi Kanada, Australia dan New Zealand.
Microsoft menyatakan jangkaan penyelesaian pengambilalihan ini akan berakhir sebelum 15 September 2020.
Monopoli Data Peribadi AS
Pada Julai 2019, TikTok didakwa oleh Pentadbiran Trump bahawa mereka telah mengumpul sejumlah besar data pengguna AS secara peribadi, secara rahsia dan telah meyimpan data tersebut di China.
Dakwaan tersebut telah menimbulkan kebimbangan warga AS, di mana data itu digunakan untuk mengenal pasti, profil dan menjejaki pengguna di AS.
Oleh itu, Microsoft mengatakan pihaknya akan memastikan data peribadi pengguna TikTok di AS akan terus kekal di negara mereka.
Malah sekiranya pengambilalihan itu berjaya – Microsoft turut akan memastikan segala data pelayan di luar negara akan dipindahkan.
Bagaimanapun China telah menafikan dakwaan tersebut. Pemilik TikTok – Bytedance mengatakan bahawa Beijing tidak memiliki sebarang akses ke atas data pengguna mereka.
Setakat ini, sekitar 180 juta pengguna AS telah memuat turun aplikasi TikTok. Serata dunia, lebih 1.5 bilion telah berbuat demikian.
Namun, segelintir pihak kerajaan AS masih lagi meragui akan jaminan tersebut.
Pemilikan TikTok Beri Manfaat Kepada Ekonomi AS
TikTok sememangnya popular dalam kalangan anak muda, di mana platform ini mengabungkan dua elemen utama iaitu kreativiti dan idea asal pengguna.
Ini secara tidak langsung menampilkan kelainan dari segi pembawakan identiti diri dan produk sesebuah jenama.
Setakat ini TikTok telah menjana sehingga RM4.2 bilion (AS$1 bilion) dan pihak telah menyasarkan untuk mencapai perolehan pada tahap AS$6 bilion pula selepas ini.
Adanya kenyataan ini, tidak pelik mengapa Microsoft cenderung untuk mempelopori aplikasi China tersebut. Ia bukan sekadar mampu mengawal kedudukan data, namun turut dapat memperolehi manfaat ekonomi pada negara AS.
Penulis berpendapat – pemilikan ini mampu membuka kolaborasi TikTok dengan jenama negara lain, di mana ia bukan sekadar memberi manfaat kepada AS semata-mata namun turut merangkumi negara lain.
Ini juga mampu mendorong kepada perluasan pasaran AS dalam kandungan digital media sosial. Umum ketahui, kini TikTok antara pemain utama dalam menampilkan ciri aplikasi kandungan yang berbeza kepada pengguna dunia.
Sudut pemasaran iklan di TikTok dilihat lebih menarik dan lebih ringkas. Ia bukan sekadar pemaparan produk yang kasual namun turut merangkumi produk korporat.
Aplikasi TikTok telah berjaya menterjemahkan mesej korporat pada konsep yang mudah difahami oleh pengguna jenama tertentu.
Pertelingkahan AS-China: Reda Atau Rumit?
Pelbagai persoalan mula tercetus apabila Microsoft memutuskan untuk membeli aplikasi TikTok. Ini merujuk kepada isu petelingkahan antara AS dan China.
Sekiranya Microsoft menyifatkan pembelian TikTok ini mampu meredakan konflik yang sedia ada, ternyata tanggapan tersebut adalah salah.
Penulis melihat situasi akan menyukarkan lagi keadaan semasa, Trump sebelum ini telah tampil dengan kenyataan untuk menjadikan jenama China sebagai hak milik AS. Apakah Trump lupa bahawa China turut dapat melakukan tindakan yang sama?
Ini kerana dengan populasi 1.4 bilion penduduk – China tidak akan memiliki sebarang masalah untuk mengambilalih jenama AS kepada China. Malah negara tembok besar itu juga memiliki kapasiti dalam membangunkan produk asal mereka sendiri, tanpa memerlukan sokongan pembangun luar.
Tidak seperti negara lain, China jauh keterdepan dalam menilik aliran semasa berhubung kandungan digital dunia. Perkara tersebut tidak dapat dinafikan oleh AS.
Pada ketika ini, AS seharusnya bertindak lebih pintar dalam mengeluarkan kenyataan. Tindakan itu bukan sahaja mempengaruhi dua buah negara ini namun turut memberi kesan kepada pertumbuhan ekonomi dunia.
Meskipun Microsoft kekal positif akan proses pengambilalihan ini, namun Penasihat Perdagangan AS – Peter Navarro menyatakan pengambilalihan Microsoft ke atas TikTok ini tidak akan menyelesaikan masalah keselamatan pentadbiran AS, jauh sekali konflik kedua buah negara tersebut.