Sebelum ini, Mr DIY Group – syarikat peruncitan telah membuat perancangan bagi melaksanakan tawaran awam pemulaan (IPO).
Namun pelan tersebut terpaksa ditangguhkan seketika berikutan krisis COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang perlu diikuti.
Oleh itu, mulai Oktober Mr DIY akan mula melaksanakan semula perancangan IPO ini. Tindakan itu adalah untuk mengukur kembali minat pelabur di pasaran.
Menurut laporan Bloomberg, Mr DIY menjangkakan kutipan IPO tersebut mampu meraih modal sekitar RM2.1 bilion (AS$500 juta).
Penjualan saham ini sekaligus akan meletakkan Mr DIY dan syarikat sokongan mereka, Creador – selaku IPO terbesar di Malaysia sejak Lotte Chemical Titan Holding Bhd meraih RM3.5 bilion (AS$849 juta) pada tahun 2017.
Setakat ini, tiada sebarang maklumat lanjut berhubung isu IPO dari Creador mahupun Mr DIY.
Untuk makluman, Mr DIY telah mula beroperasi sejak 2005 lagi dan memiliki sekitar 622 cawangan di seluruh negara. Apa yang lebih menarik pelan ini turut akan merangsang semula pasaran saham Malaysia – yang hanya mencatatkan RM296 juta (AS$70.7 juta) untuk tahun 2020.