Artikel

Nilai IPO Mr DIY Mampu Mencecah Sehingga RM1.7 Bilion – Laporan Dow Jones

Syarikat peruncitan Mr DIY Group telah dilaporkan sedang membuat perbincangan bersama kumpulan pelabur terpilihnya untuk melaksanakan tawaran awam permulaan (IPO).

Menerusi laporan Dow Jones, IPO ini dikhabarkan mampu meraih modal sehingga RM1.7 bilion (AS$400 juta).

Sekiranya berjaya, dalam masa tiga tahun IPO tersebut bakal menjadi yang terbesar di Asia Tenggara. Ia akan menjadi tawaran terbesar selain Lotte Chemical Titan Holding Bhd yang menawarkan hampir RM3.64 bilion (AS$880 juta) pada tahun 2017.

Buat masa ini, perbincangan bersama pelabur institusi utama dijangka mungkin berlangsung lebih daripada seminggu bagi menarik minat mereka terhadap IPO tersebut.

Menerusi persetujuan bersama, secara terus ia dapat membantu memasarkan perjanjian ini kepada institusi lain dan pelabur individu. 

Walau bagaimanapun, penularan wabak novel coronavirus sedikit sebanyak telah menjejaskan jadual penyenaraian tersebut.