Artikel

Reuters Melaporkan Tencent Sah Beli iflix

Sebelum ini, terdapat gambaran menunjukkan iflix menyertai Tencent – bagaimanapun tiada sebarang pengumuman rasmi dilakukan pada ketika itu.

Kini menurut laporan Reuters, Tencent telah mengesahkan bahawa pihaknya telah membeli kandungan, teknologi, dan sumber platform streaming video Malaysia itu.

Tindakan penyertaan iflix ini dilihat sebagai usaha Tencent meningkatkan pengllibatannya di Asia Tenggara.

Secara tidak langsung ini akan membolehkan Tencent memperluaskan jangkauan perkhidmatan penstriman video luar negara, WeTV, yang dilancarkan di Thailand pada tahun lalu, 2019.

Setakat ini, wakil Tencent dan iflix enggan mengulas lanjut berkenaan nilai perjanjian tersebut. Namun, menurut Variety sumber terdekat mengatakan nilai perjanjian tersebut hanya mencecah puluhan juta dolar sahaja.

Sekiranya benar nilai tersebut, maka ini menjadikan penilaian tersebut lebih rendah berbanding permintaan iflix pada tahun lalu dalam penyenaraian awam di Australia dengan jumlah RM4.2 bilion (AS$1 bilion).

Untuk makluman umum, iflix merupakan syarikat startup Malaysia yang memiliki jumlah penonton lebih dari 25 juta pengguna di Asia Tenggara. Manakala perolehan mereka pul telah melebihi RM1.2 bilion (AS$300 juta).