Artikel

COVID-19 Cetus Kejatuhan Prestasi Ekonomi Malaysia 2020 – Bank Dunia

Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia diunjurkan menurun 3.1% berbanding tahun lalu, 2019 dengan unjuran 4.3%.

Berdasarkan tinjauan Bank Dunia (WOB) pada Malaysia Economic Monitor – Surviving The Storm June 2020, menunjukkan disebabkan penularan COVID-19, aktiviti ekonomi negara dilihat jatuh dan proses merangsang semula ekonomi negara mempengaruhi prestasi pada separuh pertama tahun 2020.

Susulan itu, unjuran asas bagi penguncupan pengeluaran dijangka akan mencapai sekitar 10% untuk tahun suku kedua 2020. Di mana, jangkaan tersebut adalah cerminan kepada kesan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ke atas pertumbuhan ekonomi negara.

Bank Dunia melihat aliran tunai ekonomi Malaysia akan meningkat secara beransur-ansur bermula separuh kedua tahun 2020 ini.

Antara yang akan membantu peningkatan aliran tersebut adalah perbelanjaan isi rumah serta perbelanjaan pelaburan negara. Meskipun begitu, kadar ketidakpastian masih lagi tinggi. Ini kerana pengurangan permintaan, keyakinan pasaran dan tekanan kos domestik telah mempengaruhi perkara tersebut.

Tambahan pula, kadar pengangguran yang semakin tinggi telah mendorong isi rumah untuk meningkatkan simpanan peribadi mereka.

Melihatkan rangkuman ini, Bank Dunia menyasarkan Malaysia perlu tampil dengan inisiatif baharu dalam memperbaharui langkah perbelanjaan, kutipan hasil dan sistem perlindungan sosial kepada masyarakat.

Antara cadangan inisiatif adalah merangkumi program bantuan sosial yang dibiayai secara terbuka seperti saluran wang tunai, sumbangan program insurans sosial seperti simpanan persaraan, dan program pasaran pekerja aktif seperti inisiatif pembinaan kemahiran.

Tindakan ini akan membantu mempengaruhi perubahan sektor pekerjaan dan kedudukan fiskal negara menjadi lebih baik.

Pada laporan yang sama, sekiranya tiada tindakan terhadap pengurangan perbelanjaan pada sektor yang tidak berkepentingan – Bank Dunia menjangkakan defisit fiskal Malaysia mampu mencecah sehingga 7%.

Untuk makluman pembaca, sebelum ini Menteri Kewangan – Tengku Zafrul mengatakan kadar hutang negara mampu mencapai sekitar 55% pada akhir tahun ini. 

Rentetan tekanan ini, laporan menunjukkan Malaysia telah memasuki krisis dengan tahap hutang kerajaan persekutuan yang agak tinggi berbanding tahun 2019, 52.5% daripada KDNK dan tahap pendapatan yang rendah 2019, 15.4% daripada KDNK.