Artikel

Premis Panggung Wayang, Acara Langsung, Teater – Kini Menanti Tarikh Pembukaan 1 Julai Ini

Syarikat-syarikat wayang, pengusaha acara lansung, dan teater, semua menanti garis panduan baharu, yang mengizinkan premis dan lokasi mereka dibuka semula.

Sebelum ini, tinjauan Cinema Online menyaksikan lebih separuh (52.94%) daripada 800 responden rakyat Malaysia mengatakan mereka ingin menonton wayang semula.

Ternyata hasrat tersebut dapat dipenuhi tidak lama lagi, di mana Kerajaan kini mula membenarkan pembukaan operasi bagi panggung wayang, teater dan acara secara langsung pada 1 Julai kelak.

Kenyataan ini telah diumumkan sendiri oleh Menteri Pertahanan (Keselamatan) Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob pada sidang media Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada jam 2 petang tadi.

Bagaimanapun, premis berkaitan dikehendaki mematuhi segala garis panduan yang telah disediakan. Bahagian kawalan kemasukan premis perlu dikawal rapi dan kuota pelanggan tidak melebihi 250 individu.

Rata-rata pengguna mula meluahkan rasa gembira mereka akan kebenaran tersebut. Ini bermakna pertumbuhan ekonomi bagi sektor tersebut dapat dibangunkan semula.

Secara tidak langsung aliran tunai pada sektor ini dapat dipertingkatkan, dan perkara ini adalah petanda yang baik buat pertumbuhan ekonomi negara.