Artikel

Operasi Media Prima Akan Disemak Semula, Termasuklah Pengurangan Pekerja

Berikutan ketidaktentuan ekonomi pada ketika ini ia telah mendorong Media Prima untuk mempercepatkan pelaksanaan fasa transformasi perniagaannya.

Sebelum ini, pada November 2019 Media Prima pernah melaporkan kerugian selepas cukai sebanyak RM79.2 juta bagi tempoh sembilan bulan. Rentetan daripada tempoh laporan suku ketiga tersebut, Media Prima mengumumkan akan melaksanakan penstrukturan dalaman bagi fasa transformasi perniagaan seterusnya.

Maka, pelaksanaan tersebut telah dimaklumkan pada hari ini (4 Jun) di mana pihaknya akan melaksanakan fasa transformasi perniagaan.

Ia bertujuan untuk memperkemaskan semula model perniagaan syarikat bagi jangka masa pendek dan jangka masa panjang.

Fasa tersebut turut merangkumi semakan semula model pendapatan dan pengurusan kos syarikat yang lebih bersesuaian.

Malah, tindakan perubahan ini akan mengfokuskan kepada operasi di unit terpilih sahaja. Ia bagi mengatasi ketidakcekapan kos yang berlaku pada pertindihan kerja.

Susulan pelaksanaan tersebut juga, pengurangan pekerja akan dilakukan dan pampasan yang setimpalnya akan diberikan kepada pekerja yang terjejas.