Artikel

Media Prima Rugi Hampir RM80 Juta Bagi 9 Bulan Pertama Tahun 2019

Media Prima Berhad melaporkan kerugian selepas cukai sebanyak RM79.2 juta bagi tempoh sembilan bulan tahun kewangan berakhir 30 September 2019.

Kerugian bagi suku ketiga tahun ini adalah sebanyak RM25.5 juta.

Jika dibandingkan dengan tahun 2018, Media Prima melaporkan kerugian sebanyak RM22.1 juta bagi sembilan bulan pertama tahun lepas.

Syarikat itu berkata, “susulan daripada tempoh laporan suku ketiga, Media Prima mengumumkan akan melaksanakan penstrukturan dalaman bagi fasa transformasi perniagaan seterusnya”.

Mereka turut menyatakan bahawa penstrukturan semula ini termasuk mengubah model perniagaan dan penstrukturan dalaman bagi membolehkan Kumpulan berdaya saing dan mampan ketika berdepan dengan ketidaktentuan keadaan makroekonomi dan perubahan sektor media global dan tempatan.

Rumah penyelidikan CGS-CIMB menyatakan melalui sebuah nota pelaburan, bahawa transformasi Media Prima harus bermula dengan kandungan, disamping perubahan korporat.

Namun begitu, CGS-CIMB berpendapat bahawa tiada tanda-tanda konkrit yang dapat dilihat tentang perubahan dan penambahbaikan dari segi kandungan dari Media Prima.

CGS-CIMB terus memberi nasihat ‘rendah’ dari melabur dalam syarikat ini.