Tindakan India meneruskan pembelian minyak sawit Malaysia dijangka dapat mengukuhkan pasaran negara. Ini juga membuktikan bahawa India antara negara terpenting dalam sektor agrikomoditi.
Menurut Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi, melalui hubungan baik kedua-dua negara ini ia sekaligus dapat meningkatkan permintaan perdagangan, dan memberi kesan yang baik pada ekonomi.
Setakat ini, industri sawit negara memberikan pendapatan kepada hampir 500 ribu pekebun kecil sawit termasuk kira-kira 258 ribu pekebun kecil persendirian.
Malah, perubahan pendirian India untuk tidak melanjutkan sekatan import dijangka dapat membantu peningkatan permintaan import.
Sebelum ini, India adalah pengimport terbesar minyak sawit dan produk berasaskan sawit Malaysia pada 2019 dengan sebanyak 4.5 juta tan minyak sawit dan produk berasaskan sawit berjumlah RM9.8 bilion.
Jumlah eksport itu meningkat kira-kira 67 peratus berbanding 2018 dengan jumlah eksport sebanyak 2.7 juta tan.
Minggu lalu turut memperlihatkan pengikatan kontrak antara pengimport India hingga 200,000 tan minyak sawit mentah dari Malaysia, yang akan dihantar pada bulan Jun dan Julai.