Berikutan krisis pandemik COVID-19, orang ramai kini tidak lagi akan melancong atau menginap di mana-mana hotel untuk suatu jangka masa yang panjang. Ini secara terus membawa kepada penutupan operasi hotel tersebut.
Semalam (29 April) terdapat dua makluman berkenaan penutupan operasi hotel di Malaysia, Ramada Plaza Melaka Hotel dan GTower Hotel.
Kedua-dua operasi perhotelan ini telah membuat kenyataan ucapan selamat tinggal pada platform sosial media masing-masing.
Menurut wakil hotel Ramada Plaza, MTB Realty Sdn Bhd – akibat krisis COVID-19 yang berterusan, pihaknya tidak dapat meneruskan lagi operasi perniagaan. Oleh itu, pemberian notis dua bulan akan diberikan kepada para pekerja, dan 30 jun adalah tarikh akhir perkhidmatan mereka.
Turut difahamkan para pekerja akan memperolehi faedah pemberhentian berdasarkan kontrak yang telah dipersetujui.
Manakala, wakil GTower pula pada status laman medianya, mereka memohon maaf dan berterima kasih kepada semua pelanggan yang pernah menerima khidmat mereka.
Rata-rata pengguna meluahkan rasa sedih dan simpati mereka terhadap penutupan operasi hotel itu.
Tidak hanya hotel mewah, hotel bajet juga turut mengalami tempias yang sama. Menurut Timbalan Presiden Kebangsaan Persatuan Hotel Bajet Malaysia – Sri Ganesh Michiel, sekiranya perkara ini berterusan dan tiada sebarang tindakan pelindungan diberikan – ini akan membawa kepada penutupan operasi hotel di Malaysia.
Kerugian tersebut berdasarkan kepada kadar purata penginapan hotel di Malaysia adalah 25.41% sahaja. Secara amnya, hotel tidak mampu bertahan dengan catatan itu.