Artikel

GSV Tawar RM10.9 Bilion, Kemuka Cadangan Beli Malaysia Airlines

Sebelum ini, Air France-KLM, Japan Airlines Co Ltd, syarikat penerbangan domestik AirAsia Group Bhd dan Malindo Air telah menunjukkan minat terhadap pengambilalihan Malaysia Airlines.

Kini, Golden Skies Ventures (GSV) pula pada isnin (6 April) lalu telah membuat tawaran sejumlah RM10.9 bilion (AS$ 2.5 bilion) dari pembiayaan bank Eropah untuk mengambilalih sepenuhnya syarikat induk syarikat penerbangan Malaysia Airlines.

Menurut laporan Reuters, syarikat GSV telah mengemukakan cadangan ini kepada  Morgan Stanley sejak sebulan lalu. 

Ini susulan daripada sekatan operasi ke atas seluruh syarikat penerbangan di dunia berikutan penularan wabak COVID-19.

Selain bank Eropah, GSV turut memiliki dana sokongan dari ekuiti swasta dari negara Jepun. Dana sokongan tersebut akan disalurkan pada Malaysia Airlines menerusi perjanjian ekuiti.

Seterusnya GSV turut mengatakan ia akan mengambil alih sebahagian besar hutang syarikat penerbangan yang dipegang oleh kerajaan dalam bon Islam yang belum dijelaskan.

Buat masa ini Khazanah Nasional dan Morgan Stanley tidak memberi sebarang maklum balas berhubung laporan yang dinyatakan.