Artikel

Kerajaan Seru Pemberi Pinjaman Wang Berdaftar, Beri 6 Bulan Moratorium Kepada Peminjam

Kerajaan menyeru organisasi pemberi pinjam wang berdaftar di bawah Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 yang menyediakan kemudahan kredit untuk memberi moratorium ke atas bayaran ansuran PKS selama 6 bulan bermula April 2020.

Gesaan ini adalah berikutan sepertimana yang telah dilakukan oleh pihak bank (24 Mac) lalu iaitu Bank Negara Malaysia memberikan penangguhan bayaran balik sehingga 6 bulan kepada individu dan syarikat.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata “Saya berharap organisasi pemberi pinjam wang turut bersimpati dengan kesukaran yang dihadapi oleh pelanggan dan bersama-sama membantu meringankan beban kewangan mereka”.

Kerajaan juga akan mengambil beberapa inisiatif untuk memudahkan PKS mendapat manfaat sepenuhnya daripada semua bantuan yang telah diumumkan.

Pertama, kerajaan mengumumkan bahawa mereka akan memansuhkan kadar faedah 2% kepada 0% untuk Skim Kredit Mikro berjumlah RM500 juta di bawah Bank Simpanan Nasional.

Skim pinjaman mudah untuk syarikat mikro ini juga dipanjangkan kepada TEKUN Nasional dengan had maksimum pinjaman sebanyak RM10,000 setiap syarikat pada kadar faedah 0%.

Pemohon hanya boleh memilih salah satu daripada skim ini bagi membolehkan lebih ramai peniaga menikmati kemudahan ini.

Kedua, mengecualikan bayaran sewa atau memberi diskaun sewaan untuk peniaga runcit PKS bagi premis yang dimiliki oleh syarikat berkaitan Kerajaan.

Tindakan ini sedikit sebanyak mampu membantu individu untuk pelihara kebajikan mereka bagi tempoh sepanjang krisis COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan ini berlangsung.