YAB Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin (27 Mac) telah mengumumkan Pakej PRIHATIN kepada rakyat. Menerusi platform yang sama, sejumlah RM5.9 bilion telah diperuntukan dalam Program Subsidi Upah kepada syarikat dan pekerja.
Bagaimanapun, hari ini (6 April) Kerajaan telah mengumumkan dana tambahan sejumlah RM7.9 bilion. Menjadikan nilai peruntukan tersebut kepada RM13.8 bilion bagi Program Subsidi Upah.
Susulan itu, semua syarikat dengan pekerja tempatan yang bergaji RM4,000 dan ke bawah akan menerima bantuan subsidi upah seperti berikut:
Satu: Bagi syarikat yang mempunyai pekerja lebih daripada 200 orang, subsidi upah sebanyak RM600 bagi setiap pekerja dikekalkan. Namun, bilangan maksimum pekerja yang layak untuk menerima subsidi akan ditingkatkan daripada 100 orang kepada 200 orang pekerja.
Dua: Bagi syarikat yang mempunyai bilangan pekerja 76 hingga hingga 200 orang, syarikat akan menerima subsidi upah sebanyak RM800 bagi setiap pekerja.
Tiga: Bagi syarikat yang mempunyai bilangan pekerja sehingga 75 orang, syarikat akan menerima subsidi upah sebanyak RM1,200 bagi setiap pekerja. Melalui penambahbaikan ini, syarikat- syarikat akan menerima lebih banyak manfaat dan bantuan.
Empat: Bantuan ini adalah untuk selama 3 bulan dan dikhususkan kepada majikan yang telah berdaftar dengan SSM atau pihak berkuasa tempatan sebelum 1 Januari 2020 dan mendaftar dengan PERKESO. Justeru, kira-kira 4.8 juta pekerja dijangka akan mendapat manfaat daripada inisiatif ini.
Lima: Bagi majikan yang memilih untuk menerima bantuan ini, mereka disyaratkan untuk mengekalkan pekerja mereka sekurang- kurangnya untuk tempoh 6 bulan, iaitu dalam tempoh 3 bulan semasa menerima subsidi upah dan 3 bulan selepas itu.
Tindakan ini sekaligus membantu pihak syarikat dalam menangani isu aliran tunai sewaktu krisis COVID-19 ini.