Melalui pengumuman YAB Perdana Menteri Muhyiddin Yassin pada siang Pakej Ransangan Ekonomi Prihatin Rakyat sebentar tadi.
Pihak kerajaan telah menunjukkan rasa prihatin kepada nasib pemilik-pemilik syarikat yang mengalami masalah aliran tunai.
Oleh itu, kerajaan akan melaksanakan beberapa langkah bagi menangani isu ini.
Pertama – KWSP akan memperkenalkan program Khidmat Rundingan Majikan pada 15 April 2020
Perkhidmatan ini merangkumi pilihan penangguhan bayaran, penstrukturan dan penjadualan semula sumbangan majikan. Langkah ini dijangka memberikan penjimatan aliran tunai kepada majikan yang dianggarkan berjumlah RM10 bilion. Inisiatif ini akan memanfaatkan lebih 480,000 PKS dan syarikat yang terjejas, di samping menyelamatkan lebih 8 juta pekerjaan.
Kedua – Mengecualikan pembayaran levi Tabung Pembangunan Sumber Manusia (HRDF)
Langkah ini akan dilakukan ke atas semua sektor untuk tempoh enam bulan mulai April 2020. Malah, dijangka membantu aliran tunai syarikat dengan penjimatan keseluruhan bernilai RM440 juta.
Ketiga – Kerajaan Tangguh Pembayaran Ansuran Cukai Pendapatan Kepada PKS
Dengan rasa peduli terhadap masalah yang dihadapi oleh kira-kira 750 ribu PKS, Kerajaan juga membenarkan penangguhan pembayaran ansuran cukai pendapatan kepada semua PKS untuk tempoh tiga bulan mulai 1 April 2020.
Ini adalah tambahan kepada langkah yang diumumkan terdahulu di mana Kerajaan telah memberi penangguhan bayaran ansuran cukai kepada perniagaan yang terjejas dalam sektor pelancongan selama enam bulanbermula 1 April 2020.
Keempat – Kerajaan memperkenalkan Program Subsidi Upah untuk membantu majikan mengekalkan pekerja
Menerusi program ini Kerajaan akan menyediakan upah sebanyak RM600 sebulan bagi setiap pekerja untuk tempoh tiga bulan.
Program ini dikhususkan kepada pekerja yang berpendapatan di bawah RM4,000 dan majikan yang mengalami penurunan pendapatan lebih 50% sejak 1 Januari 2020. Majikan mesti memastikan mereka tidak membuang pekerja atau mengarahkan mereka mengambil cuti tanpa gaji bagi tempoh tiga bulan selepas program ini dilaksanakan.