Minggu lalu, Ketua Pengarah Kesihatan – Datuk Dr Noor Hisham memaklumkan Malaysia telah dipilih oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai salah sebuah negara untuk mengambil bahagian dalam penyelidikan bersama bagi menguji ubat COVID-19. Kini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menyertai usaha penyelidikan “Kajian Solidariti” global ini bagi menguji rawatan yang berpotensi untuk pesakit COVID-19.
Kajiselidik dibawah pimpinan WHO ini akan dilakukan dengan pengumpulan data dan membandingkan keselamatan serta keberkesanan empat protokol rawatan yang menggunakan kombinasi Remdesivir, Lopinavir/Ritonavir, Interferon beta, Chloroquine dan Hydroxychloroquine.
Menurut DG Hisham, kementerian telah mempercepatkan proses pemulaan pelaksanaan kajiselidik ini tidak lama lagi. Oleh itu, terdapat 9 buah hospital yang akan terlibat iaitu Hospital Tuanku Fauziah, Hospital Sultanah Bahiyah, Hospital Pulau Pinang, Hospital Sungai Buloh, Hospital Kuala Lumpur, Hospital Melaka, Hospital Tengku Ampuan Afzan, Hospital Umum Sarawak dan Hospital Queen Elizabeth.
Penyelidikan ini akan diketuai oleh Dr Chow Ting Soo, Pakar Perunding Penyakit Berjangkit di Hospital Pulau Pinang dengan pasukan yang terdiri daripada 16 Pakar Perubatan Penyakit Berjangkit dan ahli farmasi sebagai Penyelidik Bersama di hospital-hospital KKM masing-masing.
DG Hisham turut memberi jaminan bahawa kajiselidik tersebut akan mematuhi semua piawaian keselamatan yang ditetapkan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).
Penglibatan pasukan perubatan Malaysia dilihat amat penting dalam kajiselidik ini, ia bagi menilai rawatan yang berpotensi yang lebih berkesan, dan menyelamatkan nyawa dalam pertempuran global untuk melawan virus COVID-19 ini.