Artikel

Malaysia Dipilih WHO, Dalam Penyelidikan Bersama Bagi Menguji Rawatan COVID-19

Menerusi sidang media KKM pada jam 5 petang tadi, Ketua Pengarah Kesihatan – Datuk Dr Noor Hisham memaklumkan Malaysia telah dipilih oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai salah sebuah negara untuk mengambil bahagian dalam penyelidikan bersama bagi menguji ubat COVID-19.

Kerjasama ini adalah untuk memudahkan penyelidikan mengenai ubat baru antivirus yang dipanggil sebagai Remdesivir, telah dikenalpasti sebagai ubat yang mungkin dapat merawat pesakit COVID-19.

“Bagaimanapun, untuk menentukan sama ada ubat itu berkesan secara saintifik, kita perlu melakukan penyelidikan,” kata Dr Noor Hisham.

Beliau berkata Malaysia dipilih kerana keupayaan negara untuk menjalankan penyelidikan di peringkat tinggi, dan mempunyai platform dan penyelidik yang sesuai untuk berbuat demikian.

Beliau menambah bahawa Kementerian akan mengadakan pertemuan dengan WHO malam ini, untuk membincangkan dan menyusun pelaksanaan penyelidikan bersama.

“Kami sudah mempunyai platform untuk melakukan kajian ini dan para penyelidik kami dilatih untuk menjalankan penyelidikan sedemikian. Jadi, antara sebab kami dipilih adalah kerana kita telah dikenalpasti sebagai sebuah negara dengan sistem penyelidikan penjagaan kesihatan yang baik,” katanya.

“Penyelidikan ini akan memberi tumpuan kepada Hospital Sg Buloh dan hospital-hospital lain yang telah dikenalpasti sebagai hospital COVID-19.”

Walau bagaimanapun, tidak dinyatakan angka penglibatan negara lain dalam kerjasama penyelidikan ini.