Artikel

Selepas Pengerusi Sime Darby, Kini CEO Pula Sah Positif COVID-19

Sime Darby Berhad (SDB) hari ini (19 Mac) memaklumkan Ketua Pegawai Eksekutifnya (CEO), Dato’ Jeffri Salim Davidson, telah diuji positif untuk COVID-19.

Buat masa ini, beliau dalam proses kuarantin dan sedang menerima rawatan perubatan.

Sebelum ini, Velesto Energy dan Sime Darby Berhad mengesahkan Pengerusi SDB positif Covid-19 iaitu Dato’ Abdul Rahman Ahmad.

Baca Artikel Ini: Pengerusi Sime Darby, Dato’ Abdul Rahman Ahmad sah positif COVID-19

Bagamanapun, Kumpulan mengesahkan bahawa CEO tidak pernah melawat premis SDB dalam tempoh 16 hari yang lalu.

Mana-mana pekerja yang diketahui telah berhubung dengan CEO sepanjang tempoh ini telah diletakkan kuarantin sendiri dan menjalani pemeriksaan perubatan yang diperlukan.

SDB sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa yang berkaitan untuk memastikan kesihatan mereka yang telah berhubung dengan CEO berada dalam keadaan selamat.

Bagi memastikan kesinambungan perniagaan, Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan, Encik Mustamir Mohamad, telah mengambil alih tanggungjawab CEO untuk sementara waktu.

Selaras dengan Perintah Kawalan Pergerakan Kerajaan Malaysia, premis Malaysia SDB ditutup dari 18 Mac hingga 31 Mac 2020. Kumpulan telah memulakan pelan kesinambungan perniagaannya dan semua kakitangannya yang berpangkalan di Malaysia akan bekerja dari rumah.

Sepanjang operasi Kumpulan di Asia Pasifik, SDB telah memulakan rancangan kesinambungan perniagaannya untuk memastikan gangguan yang minimum terhadap operasi.

SDB komited untuk melakukan peranannya dalam mengurangkan penyebaran COVID-19 dan akan membuat pengumuman selanjutnya apabila terdapat perkembangan baru.