Artikel

NUFAM Mohon Kerajaan Lebih Telus Dengan Penjualan Malaysia Airlines

Kesatuan Kebangsaan Anak Kapal Kabin Penerbangan Malaysia (NUFAM) mahu kerajaan lebih telus dalam menilai mana-mana cadangan untuk membeli Malaysia Airlines Berhad (MAS).

Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad menyatakan semalam sebanyak lima cadangan telah diterima kerajaan tentang penjualan MAS.

BACA: Mahathir umum kerajaan terima sehingga 5 cadangan untuk MAS

Menurut akhbar Focus Malaysia, antara lima yang disebutkan termasuk AirAsia Group dan Japan Airlines.

“Kami mahu tahu pelan penjualan dari kerajaan dan bukannya dari pihak ketiga,” kata NUFAM.

“Kami tidak mahu diserang hendap dengan berita penjualan kepada AirAsia, di mana terdapat desas-desus perkara ini sedang berlansung,” tambah mereka lagi.

“Kami mahukan Khazanah Nasional berterus-terang dengan kami dan keluarkan kenyataan tentang apa-apa pelan penjualan/pembelian MAS,” ujar NUFAM lagi.

Khazanah telah mengambil alih MAS pada tahun 2014. Dana sebanyak RM6 bilion telah disediakan untuk menyelamatkan MAS. Menurut laporan media, sebanyak 70 peratus telah pun digunakan sehingga bulan Januari 2018.