Artikel

Pertumbuhan Gaji Perlahan, Kos Hidup Naik – Apa Yang Perlu Berubah Dalam Ekonomi Malaysia?

Tanyalah mana-mana anak kecil di Malaysia suatu ketika dahulu, melihat Menara Berkembar Petronas (KLCC) berdiri megah sahaja sudah cukup untuk membuatkan kita bangga dan yakin bahawa negara kita ini sudah maju. Bangunan ikonik itu menjadi pengukur mudah bagi persepsi kita sewaktu kecil. Namun, apabila melangkah ke alam dewasa, realitinya agak berbeza. Malaysia rupanya masih bergelut untuk benar-benar bergelar negara maju.

Ini kerana angka KDNK yang memukau dan pertumbuhan ekonomi makro yang kukuh sering dicanang sebagai kayu ukur kejayaan. Namun, statistik di atas kertas ini sering bertentangan dengan realiti harian rakyat. Menerusi fenomena managed rich growth, kekayaan ekonomi nyata tidak berubah secara saksama dengan kadar upah pekerja terus melepaskan batok di tangga manakala kos sara hidup pula kian melambung tinggi. Isu pasaran kerja kita bukan sekadar merangkumi jurang pendapatan, malah melibatkan ketidakpadanan kemahiran pekerja dengan industri serta kebergantungan berlebihan pada sektor berkemahiran rendah.

Bagi memecahkan kitaran itu mari bersama Rnggt untuk fahami langkah strategik yang harus digarapkan negara menerusi perbincangan yang dilaksanakan pada sidang Bank Negara Malaysia (BNM) Sasana Symposium 2026 minggu ini.

Ketidakpadanan Kemahiran, Peranan Majikan

Isu ketidakpadanan kemahiran kekal menjadi penghalang utama kepada peningkatan produktiviti dan pendapatan pekerja. Walaupun program peningkatan kemahiran kerap dijalankan, ia tidak akan membawa impak signifikan sekiranya majikan tidak bersedia merombak reka bentuk pekerjaan dan proses kerja di peringkat organisasi. Peningkatan kemahiran individu sahaja tidak berupaya menghasilkan output yang lebih tinggi jika struktur tempat kerja kekal tidak cekap dan rigid.

Setakat akhir 2024 sahaja, didapati seramai 1.95 juta pekerja berpendidikan tinggi di Malaysia direkodkan masih tidak perolehi kerjaya setara kemahiran. Dan data terbaharu pula menunjukkan sekitar 8.4% pekerja formal di Malaysia masih terima gaji bawah RM1,700 iaitu bawah gaji minimum yang dikuat kuasakan pentadbiran Malaysia.

Maka untuk menutup jurang ini, penglibatan aktif majikan dalam merangka dan membiayai program latihan amat diperlukan. Majikan perlu memastikan bahawa kemahiran yang dipelajari oleh pekerja dapat dimanfaatkan sepenuhnya dalam tugasan harian melalui penstrukturan semula peranan dan insentif organisasi. Hanya apabila sesebuah organisasi berjaya menterjemahkan kemahiran pekerja kepada peningkatan hasil dan kecekapan, barulah pulangan pelaburan modal insan tersebut dapat dikongsi bersama menerusi kadar upah yang lebih baik.

Gaji Minimum Sebagai ‘Lantai’ – Bukan Had Pendapatan Mutlak

Setiap kali paras gaji minimum dinaikkan, ia sudah tentu memberi nilai tambah dan menjadi talian hayat kewangan segera buat kumpulan pekerja berpendapatan rendah. Pelarasan gaji minimum kepada RM1,700 di Malaysia sebagai contoh, telah menyuntik peningkatan pendapatan sekitar 15% kepada kira-kira 1.6 juta pekerja. Namun, pelarasan gaji minimum tidak bermakna sokongan atau peningkatan gaji di masa hadapan boleh terhenti setakat itu sahaja.

Timbalan Gabenor BNM Dato’ Fraziali Ismail selaku antara panel perbincangan ini menjelaskan bahawa kebergantungan sepenuhnya kepada dasar gaji minimum tanpa disertai campur tangan struktur yang lain berisiko menimbulkan implikasi negatif terhadap penawaran pekerjaan di Malaysia. Erti kata mudah, pekerja berisiko sukar menuntut kenaikan gaji mahupun sokongan manfaat lain disebabkan tindakan majikan yang mengecilkan kos operasi demi menampung had dasar tersebut.

Oleh itu adalah wajar dasar gaji minimum mesti digandingkan secara seiring dengan langkah peningkatan produktiviti dan penciptaan kerja bernilai tinggi agar pertumbuhan gaji dapat bertahan dalam jangka panjang.

Hala Tuju Pelaburan Terarah Pada Sektor Bernilai Tinggi

Dahulunya, Malaysia menumpukan pembangunan ekonomi bergantung kepada Pelaburan Langsung Asing (FDI) dalam sektor pembuatan tradisional dan tenaga kerja kos rendah. Walaupun kerangka ini menjadi titik awal asas evolusi ekonomi negara, mengekalkannya dalam era ekonomi moden hanya akan meluaskan jurang kadar upah serta mengehadkan perkembangan kerjaya bernilai tinggi.

Menyedari hakikat itu, Malaysia kini perlu dan mula beralih kepada tumpuan pelaburan sektor bernilai tinggi. Peralihan ini secara langsung akan merangsang permintaan terhadap modal insan berpendidikan dan berkepakaran tinggi. Apabila permintaan terhadap pekerjaan berkemahiran tinggi meningkat, pasaran secara semula jadi akan mewujudkan persaingan tawaran gaji yang lebih kompetitif. Langkah ini amat penting bagi mengelakkan negara terus terperangkap dalam lingkungan pekerjaan berkemahiran rendah yang merencatkan struktur pendapatan pekerja secara berpanjangan.

Rakyat Perlu Ubah Stigma – Tidak Bergantung Pada Subsidi, Mula Cipta Peluang Ekonomi Baharu

Memiliki kerajaan yang prihatin terhadap kebajikan rakyat merupakan satu nikmat yang wajar disyukuri. Antaranya menerusi pemberian Sumbangan Asas Rahmah (SARA) RM100 secara one-off, subsidi RON95 berkadar RM1.99 seliter untuk setiap rakyat Malaysia dan pelbagai lagi inisiatif bantuan lain peringkat Persekutuan mahupun Negeri.

Namun, di sebalik kelegaan bantuan kewangan tersebut, terdapat keperluan mendesak untuk rakyat Malaysia mengubah stigma—iaitu mengurangkan kebergantungan pada subsidi dan mula mencipta peluang ekonomi baharu demi meluaskan sumber pendapatan masa hadapan. Ini termasuklah meningkatkan tahap kemahiran secara kendiri. Panel wacana, Datuk Dr. Nora Manaf (Pengerusi Manaf Gardner Associates) menekankan bahawa program latihan jangka pendek (micro-credentials) yang padat dan relevan mampu memberikan hasil yang cepat berbanding program konvensional yang panjang. Selain latihan teknikal, sokongan seperti pendidikan pengurusan kewangan dan perancangan aset juga amat penting untuk memastikan kestabilan sara hidup pekerja.

Pendekatan holistik ini bukan sahaja membolehkan pekerja meraih pendapatan yang lebih tinggi, malah membantu mereka menguruskan kewangan secara berkesan di tengah-tengah cabaran peningkatan kos sara hidup.


Secara keseluruhannya, pertumbuhan ekonomi makro yang mengagumkan tidak akan membawa makna sekiranya faedah tersebut tidak dapat dinikmati secara meluas oleh seluruh warga kerja di Malaysia. Maka menangani cabaran gaji yang mundur dan kos sara hidup yang kian meningkat ini memerlukan transformasi bersistem. Langkah ini merangkumi pembaharuan kerangka pelaburan negara, penglibatan aktif majikan dalam reka bentuk pekerjaan, pemerkasaan produktiviti organisasi, serta pelaksanaan program mikro-kredential yang bersifat praktikal.

Hanya melalui komitmen padu daripada pihak kerajaan, majikan, dan pekerja, Malaysia mampu beralih daripada model ekonomi kos rendah kepada ekonomi bernilai tinggi yang inklusif.