Artikel

Garis Panduan Ekonomi Altitud Rendah Dijangka Siap Akhir 2026 – Libat Khidmat Dron, Teksi Udara

Seperti yang diumumkan pada akhir tahun lalu, Malaysia kini dalam usaha membangunkan garis panduan kawal selia Ekonomi Altitud Rendah (LAE) yang dijangka dapat diumumkan pada akhir tahun ini. 

Dengan pengenalan garis panduan ini ia dilihat mampu meluaskan sektor ekonomi altitud rendah di pasaran Malaysia, yang ketika ini tertumpu pada pertanian pintar.

Kerangka kawal selia ini dijelaskan akan menjadi asas kepada penggunaan perkhidmatan teknologi merentasi khidmat dron kargo, pesawat tanpa pemandu, mobiliti udara termaju, logistik udara, pemeriksaan infrastruktur, tindak balas kecemasan, dan operasi memadam kebakaran.

Selari dengan pelaksanaan itu, Kementerian Pengangkutan (MOT) memaklum Pihak Berkuasa Penerbangan Malaysia (CAAM) akan bertindak menerajui inisiatif ini dengan membangunkan rangka kerja kawal selia bagi menyokong integrasi khidmat pesawat autonomi pada ruang udara negara. Rangka kerja ini dijelaskan akan memperincikan tahap keselamatan, pengawasan operasi, industri serta penyelesaian perkhidmatan.