Artikel

CAAM Akan Bangunkan Rangka Kawal Selia Sektor Ekonomi Altitud Rendah – Libatkan Dron, Teksi Udara

Tidak lama lagi sebuah kerangka kawal selia sektor ekonomi altitud rendah melibatkan operasi aktiviti seperti pesawat ringan, teksi udara dan dron kelak akan dibangunkan – bagi meneroka peluang ekonomi yang lebih baik dan penambahbaikan aspek keselamatan di pasaran ruang udara Malaysia. 

Peranan di bawah pengendalian Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) ini dijelaskan akan menyediakan panduan yang lebih jelas akan keupayaan sektor ekonomi tersebut untuk diperluaskan. Jelas Kementerian Pengangkutan (MOT) tindakan pengawalseliaan ini penting untuk memastikan segala piawaian seiring dengan peredaran semasa dan tidak terlalu tegas sehingga mengekang kemasukan pelaburan yang berpotensi. 

Perkongsian itu diumumkan pada sidang pengenalan logo dan identiti korporat baharu CAAM. Seperti yang umum ketahui bermula 1 Ogos lalu, CAAM telah tampil selaku pengawalselia tunggal untuk industri penerbanfan di Malaysia – hasil penyerapan tenaga Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM).