Kurang dari sebulan sahaja lagi memasuki tahun 2026 – masih terdapat 4.95 juta saman tidak dilunaskan bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Kumpulan ini mewakili jumlah tunggakan saman sekitar RM1.48 bilion, diikuti hampir RM6.6 bilion pula melibatkan saman polis.
Laporan TheStar itu menjelaskan, sekiranya saman tersebut masih gagal dilangsaikan – situasi ini sekaligus akan membawa kepada tindakan senaraihitam, yang mana akan memberi kesan kepada pembaharuan lesen pengguna dan seterusnya menyebabkan pengguna kehilangan kelayakan BUDI95 iaitu subsidi petrol RON95 berkadar RM1.99 seliter di pasaran semasa.
Seperti yang umum sedia maklum, JPJ dan PDRM telahpun memulakan tawaran diskaun sehingga 70% saman trafik sehingga 31 Disember 2025 ini. Setelah tempoh diskaun ini berakhir, JPJ dan PDRM akan laksana pelarasan kadar kompaun trafik mulai 1 Januari 2026.
- Pesalah trafik akan terima potongan 50% – sekiranya membayar saman antara 1-15 hari
- Pesalah trafik akan terima potongan 33% – sekiranya membayar saman antara 16-30 hari
- Pesalah trafik perlu menjelaskan maksimum saman RM300 – jika bayar antara 31-61 hari
- Selepas hari ke-61 – Pesalah trafik berisiko disenaraihitam
Setakat ini hanya 7% pengguna yang terlibat memanfaatkan tawaran diskaun saman tersebut dengan hanya 362,230 saman tertunggak sahaja telah diselesaikan bernilai RM47.85 juta. Oleh itu, semua pihak yang terlibat, diminta melunaskan tunggakan saman, supaya tidak berdepan sebarang kesulitan pembaharuan lesen dan penalti yang lebih tinggi pada 2026.