Artikel

PM Anwar Umum Harga RON95 RM1.99 Seliter – Bermula 30 September Ini

Sebagaimana yang dijanjikan oleh kerajaan Malaysia – bermula 30 September ini, semua rakyat yang berkelayakan akan mula menerima kadar RON95 yang lebih rendah kepada RM1.99 seliter di bawah program Budi Madani RON95 (BUDI95).

Ini bermakna semua warganegara yang berusia 16 tahun ke atas dan miliki lesen memandu yang sah adalah kumpulan yang berkelayakan untuk menikmati subsidi tersebut menerusi pengesahan menggunakan MyKad. Buat pengetahuan umum, akses ini membenarkan pengguna yang layak meraih akses sehingga 300 liter sebulan.

Sementara kumpulan pengguna yang bukan warganegara dan individu yang tidak layak – akan kekal dikenakan harga pasaran RON95 sekitar RM2.60 seliter.

Tidak hanya itu, sebagai langkah penghargaan, akses ini akan dibuka lebih awal untuk 300,000 anggota penguatkuasa seperti polis dan tentera mulai 27 September 2025. Manakala 9 juta pengguna kalangan B40 yang juga penerima STR akan menerima akses subsidi RON95 ini pada 28 September 2025. Secara menyeluruh, pada 30 September 2025 barulah sistem ini dibuka untuk 16 juta rakyat Malaysia yang berkelayakan.

Seperti yang umum ketahui, akses ini tidak sekadar menuntut pembayaran menerusi pengesahan MyKad secara fizikal di stesen minyak semata tetapi turut akan melibatkan sokongan integrasi melalui aplikasi syarikat minyak seperti Setel, TNG eWallet dan CaltexGo.